fbpx

Love Is Sesuai Untuk Mereka Yang Gemar Filem Cinta Meruntun Jiwa

Tidak aman. Begitulah agaknya perasaan apabila seumur hidup mencintai seseorang namun terpaksa berdepan dengan perasaan tak rela melepaskan si dia kepada orang lain. Itulah yang digambarkan pengarah Karanyapan Khumsin dalam garapan terbaru berjudul LOVE IS yang mula ditayangkan pada 4 Jun 2015. Filem bergenre drama romantik dengan sedikit sentuhan thriller ini berkisar mengenai konflik perhubungan empat sekawan dengan mengambil latar belakang lokasi di sebuah desa kaum Tionghua di pergunungan Chiang Rai, wilayah paling utara di Thailand.

Ah Wei dan Ah Qing yang bersaudara dan bersahabat dari kecil berkawan dengan Xiao Ping dan Kamal yang dikenali ketika di universiti. Ah Wei menyukai Ah Qing sejak kecil namun gadis itu hanya menganggapnya sebagai sahabat dan memilih untuk bersama Kamal, pemuda bandar yang berketurunan Thai. Ah Wei hanya memendam rasa setelah di’friendzone’kan dan merelakan keluarga mengatur perkahwinannya dengan Xiao Ping yang begitu mencintai dirinya biarpun tanpa balas. Sedar akan hal itu, mereka tetap berkahwin kerana tidak mahu mengecewakan hasrat keluarga. Sedang Ah Qing dan Kamal merancang perkahwinan mereka, Ah Wei bergelut dengan perasaan cemburu hingga menjadi begitu posesif dan terdetik untuk mensabotaj perkahwinan sahabatnya.

C (51)

Plot filem ini senada tapi tidak seirama dengan filem Khumsin yang terdahulu iaitu “WONDERFUL TOWN” dengan mewujudkan watak ketiga sebagai punca konflik serta pengekalan pertembungan karekter antara bandar dan kampung. Fokus kali ini turut diberikan kepada adat budaya etnik minoriti Tionghua yang berasal dari Yunnan, China. Perhubungan antara kaum agak menarik untuk diangkat sebagai tema malahan itulah keunikannya kerana agak jarang filem Thailand membawa penonton menelusuri adat dan budaya kaum Cina biarpun 14% rakyat Thailand berketurunan Cina, dan bangsa Thai sendiri bersusur galur daripada bangsa Mongoloid.

Menonton filem ini umpama mengembara ke pedalaman Thailand. Sinematografi filem ini wajar dipuji kerana memaparkan lokasi yang indah tetapi ‘masuk’ dengan keperluan babak. Kawasan ladang teh, kampung dan tasik yang dirakam indah ternyata membangkitkan elemen keindahan alam semulajadi sebagai lambang kontra kepada kejadian dan pergolakan yang berlaku di sebaliknya. Ini kerana elemen cinta, dramatik dan sedikit sentuhan cemas digaul secara organik tanpa sebarang prejudis sekiranya filem ini boleh menjadi jemu jika terlalu dijadikan medium promosi pelancongan.

H (105)

Mungkin pengenalan watak yang agak panjang, saya andai ia diwujudkan bagi menaikkan mood dan kefahaman penonton tetapi harus diakui untuk berdiri sebagai sebuah filem, 10 minit pertama filem ini sebenarnya kurang mampu memaku untuk mengagak apakah bentuk konfliknya. Hanya setelah memasuki minit ke-20 baru penonton mula dapat merasakan kerancakan cerita apabila perlu meneka permainan motif antara watak Ah Wei dan Kamal . Mujur kemunculan babak ketegangan dua pasangan itu yang berbual di dalam bot kecil di sebuah tasik yang luas saya kira menjadi babak penentu arah yang tepat pada masanya.

Keempat-empat watak utama memberikan lakonan yang baik, terutama sekali Khoo Pei Chong dan Gong Weihui sebagai Ah Wei dan Xiao Ping. Watak Ah Wei berkembang baik apabila emosi dan kemurungannya diperjelas dengan cemerlang oleh aktor itu menerusi tindak tanduk yang mengundang debar dan geram penonton. Xiao Ping pula dijelmakan sebagai peneutral konflik sehinggakan penonton dapat merasakan kesedihan sebagai isteri yang setia mencintai suami yang tidak punya perasaan kepadanya berjaya diserap dengan matang dan sabar.

R (63)

Begitupun, watak Kamal sebagai pemuda bandar yang lurus dan sedikit self-centered (serta agak narcissist di media sosial) agak polos sehinggakan perlu diwarnakan lagi dengan watak sampingan dalam keluarganya. Mungkin kerana tiada perbezaan agama, perkahwinan campur mereka tidak mendapat halangan cliché. Pendek kata watak Kamal agak mudah dibawa namun diselamatkan dengan adanya satu kecelakaan yang menggerakkan watak tersebut ke fasa yang sedikit sukar.

Namun sebagai pelakon yang belum begitu teruji bakatnya, lakonan Pangsakorn Mettarikanon sebenarnya masih boleh diperbaiki. Energi Dhanatorn Neerasingh sebagai Ah Qing pula meyakinkan dengan emosi dan bahasa tubuh sehingga penonton dapat merasakan besarnya cinta Qing biarpun diuji dengan kerenah Ah Wei.

O (195)

Tidak suspen jika saya ceritakan apakah bentuk kerenah yang berlaku, namun boleh dikatakan pergerakan plot dan motif saling berhubungan dengan kemas. Kreativiti suntingan boleh dipuji terutama pada babak-babak akhir yang membuat penonton mencari hubungkait dengan kewajaran penamat filem ini kerana ia menduga sekiranya ia dibuat sebegitu sebagai penyebab untuk bersangka baik ataupun sebaliknya. Cuma adalah lebih baik sekiranya skor muziknya tidak terlalu menggunakan melodi oriental secara berlebihan hanya kerana mahu menimbulkan suasana kecinaan, sebaliknya perlu disunting agar tidak menjadi terlalu melodrama yang meleret-leret.

KESIMPULAN

H (166)

Biarpun wujud beberapa filem lain yang seumpamanya, namun LOVE IS berjaya memanfaatkan lakonlayar yang mudah serta digaul baik dengan sedikit warna daripada babak thriller dan psikotik. Ia wajar ditonton bagi mereka yang gemarkan filem cinta meruntun jiwa. Bagi penulis, apabila kita berharap sesuatu daripada insan lain dan kecewa apabila tidak kesampaian, fahamilah bahawa kita tidak mampu mengawal perasaan orang lain,sebaliknya kita boleh mengawal perasaan kita sendiri. Ternyata filem ini memberi jawapan betapa soal hati itu merumitkan, dan berurusan dengan kerumitan itu lebih menyesakkan jika kita tidak berlapang dada.

Saya berikan filem ini 3.5 BIJI ROTIKAYA. Selamat menonton!