fbpx

Lisa Surihani Urus Persiapan Raya, Bakal Tunai Umrah Tahun Depan

Walaupun jadual bulan puasa yang agak padat memenuhi jemputan majlis berbuka puasa ditambah kini menjadi duta Marigold namun selebriti kesayangan Malaysia, Lisa Surihani tidak lupa untuk menguruskan persiapan raya untuk dia dan suami apabila sudah menyediakan tiga set baju sedondon untuk digayakan pada hari raya nanti.

“Untuk persiapan baju raya semua Lisa yang uruskan dimana ada tiga set dan pada tahun ini Lisa pilih warna Blue Grey, Dusty Pink dan yang ketiga pula Lisa akan pakai baju yang telah disediakan Jovian Mandagie.”

Selaku duta bagi rangkaian jenama Jovian Mandagie, Lisa memberitahu pada tahun ini kesemuanya bajunya dan Yusry dari Jovian.

Mengambil cuti selama dua minggu untuk menyambut kedatangan Syawal, Lisa Surihani ternyata tidak sabar untuk berjumpa dengan sanak saudara dan menjalankan rutin wajibnya bersama keluarga setiap kali menjelang perayaan.

“Pada tahun ini Lisa dan Yusry akan beraya di KL sahaja kerana keluarga kedua-dua belah pihak di sini tetapi untuk raya ketiga saya akan ikut suami ke kampung halamannya untuk bertemu dengan opah iaitu nenek Yusry di Gopeng Perak.”

Walaupun kini sudah berkahwin Lisa Surihani ternyata tidak dapat melupakan kenangan dan rutin wajib keluarganya ketika bersama arwah ayah yang mana menu wajib adalah pulut kuning dan juga rendang ayam.

“Selepas sembahyang raya kami sekeluarga akan menjamu selera dan menu wajib kami adalah pulut kuning dan juga rendang ayam yang menjadi kegemaran ketika ayah ada. Sehingga sekarang, ianya sudah menjadi seperti tradisi.”

Di dalam kesibukan menguruskan jadualnya yang padat, Lisa turut berkongsi bahawa dia dan Yusry akan bertukar jadual dan akan saling menguruskan jadual kerja masing-masing.

“Untuk mencari waktu bersama memang sukar ditambah dengan kesibukan kami bekerja namun begitu Lisa dan Yusry akan memastikan jadual kami ditukar dan akan saling menguruskan jadual kerja sesama sendiri,” ujarnya yang ditemui semalam di Majlis Berbuka Puasa & Perkenalan Program Astro Untuk Syawal di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Lisa turut memohon agar peminatnya di luar sana mendoakan agar hajat untuk menunaikan umrah bersama Yusry tahun hadapan tercapai.