fbpx

Walaupun dah masuk pertengahan Februari 2021, kita masih lagi terus bertarung dengan COVID-19. Namun selepas pengumuman kerajaan tentang kedatangan Vaksin COVID-19 yang akan tiba hujung bulan ni, umpama nafas baharu buat kita semua.

Vaksin COVID-19 ini umpama membuka lembaran baru untuk semua rakyat Malaysia untuk dijadikan sebagai perisai. Kalau dikirakan dengan jumlah kes COVID-19 sekarang ni, memang tinggi sangat.

Harapnya vaksin yang akan tiba tak lama jer lagi ni dapat membantu kita dari dijangkiti. Dan seiring dengan itu juga, kerajaan turut melancarkan program Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam (16 Feb 2021) secara virtual dengan slogan Lindungi Diri, Lindungi Semua.

Apa Kata Pakar?

Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah memberitahu Program Imunisasi Kebangsaan dengan slogan Lindung Diri, Lindung Semua ini bertujuan untuk mengekang Covid-19 melalui vaksin bagi melindungi diri daripada wabak ini.

“Persediaan dari segi teknikal sedang giat dijalankan oleh kerajaan. Pertama, taklimat dan latihan sedang giat diberikan kepada anggota yang terlibat,” katanya.

Sumber: MSTAR

Profesor Komuniti dan Perubatan Pekerjaan Kolej Perubatan Manipal Melaka, Dr G. Jayakumar berkata, tindak balas masyarakat terhadap program vaksinasi akan menjadi salah satu faktor penentu dalam menghasilkan kekebalan kawanan terhadap virus COVID-19 di negara ini dalam masa satu tahun.

Dia mengatakan kejayaan rancangan itu bergantung pada sokongan kuat masyarakat. Sebab itu pentingnya komunikasi yang berkesan, eksklusif dan juga bukti yang kukuh.

“Harus ada petunjuk, panduan dan infografik pelbagai bahasa untuk orang awam dan orang asing.”

“Platform media sosial, laman web, televisyen dan media cetak harus digunakan secara menyeluruh untuk menjangkau dan menyampaikan mesej kepada semua orang.”

Dia juga ada mengatakan mitos mengenai vaksin harus ditangani dengan baik.

Sumber: NST

Perolehan Vaksin COVID-19

Sebanyak RM3 billion akan diperuntukkan kerajaan dalam pakej PERMAI dalam Matlamat 1 demi memerangi wabak COVID-19 ni. Mana taknya, kalau anda tengok sendiri kes sekarang pun tak menunjukkan pengurangan. Jadi, dengan adanya vaksin ni dapat juga kita lawan wabak pembunuh ni kan.

Jangan takut untuk mengambil vaksin ni sebabnya vaksin dapat meningkatkan tahap imuniti badan tanpa menyebabkan jangkitan penyakit.

Usaha Kerajaan Bantu Rakyat

Dalam masa yang sama, demi rakyat, kerajaan pun tak duduk diam. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pun dilancarkan. Dan semalam (16 Februari), Perdana Menteri kita dah pun merasmikan program tersebut.

Kalau anda nak tahu, Vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19.

Oleh itu, Kerajaan telah berjaya menempah vaksin COVID-19 dengan penghantaran pertama bekalan vaksin ini dijadualkan tiba di negara kita pada bulan ini. Penghantaran pertama vaksin COVID-19 ini melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi iaitu pada tahap 95 peratus!

Kerajaan juga menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia. Percuma gais, tak payah bayar pun. Jadi anda boleh daftar untuk menerima vaksin ni okay!

Ada 3 Fasa

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini akan melibatkan tiga fasa. Fasa pertama akan melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

Fasa ini sangat penting untuk melindungi frontliners kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.

Fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19. Mereka adalah warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Golongan orang kelainan upaya (OKU) pun termasuk di dalam fasa ini. Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

Untuk Fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, penerima vaksin bagi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.

Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh.

Untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar, teratur serta memudahkan orang ramai, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.

Muhyiddin Yassin juga telah mengarahkan pihak berkuasa agar menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.

Untuk info anda, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini adalah program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara kita. Jadi adalah bagus kalau kita semua bersama-sama menjayakan program ini.

Apa yang anda boleh buat? Anda semua boleh bersama-sama menghulurkan bantuan sama ada dari aspek perubatan dan bukan perubatan, khususnya dari aspek pendidikan kesihatan di pusat-pusat vaksinasi bagi menjayakan program ini.

Lindung Diri, Lindung Semua!

Kerajaan juga sangat mengalu-alukan penyertaan sukarelawan, mahasiswa dan mahasiswi, pemimpin masyarakat, para agamawan, badan bukan kerajaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John’s Ambulance, pihak swasta dan juga semua rakyat Malaysia.

Marilah sama-sama kita lawan COVID-19!