fbpx

Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.7 bilion bagi memerangi penularan COVID-19 yang disalurkan melalui 14 kementerian dan kerajaan negeri sejak Februari lepas. Ini termasuk RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); RM250 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); dan RM247 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kerajaan tetap komited dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 di seluruh negara, dan akan sentiasa memastikan barisan hadapan serta sistem kesihatan mempunyai dana yang mencukupi untuk melindungi rakyat.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan tidak teragak-agak untuk menambah peruntukan kewangan sekiranya perlu untuk berbuat demikian terutamanya bagi memenuhi keperluan frontliners atau petugas barisan hadapan.

Di saat gelombang terbaru COVID-19 melanda Sabah, Kerajaan, melalui KKM, telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM44 juta untuk mengukuhkan barisan hadapan kesihatan negeri. Ini meliputi penambahan peralatan perlindungan diri (PPE), bekalan perubatan, dan kelengkapan perubatan seperti katil pesakit serta alat bantuan pernafasan atau ventilators.

Selain itu, Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada NADMA untuk menyokong usaha menangani penularan wabak tersebut. Kedua-dua peruntukan tambahan ini selaras dengan komitmen bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara.

Pengaktifan Semula Tabung KKM Untuk Memudahkan Derma Orang Ramai

Pada masa yang sama, pihak Kerajaan sangat tersentuh dengan sokongan orang ramai, termasuk komuniti perniagaan, yang mendalami semangat #kitajagakita, melalui sumbangan derma berbentuk tunai, makanan, peralatan kesihatan dan pelbagai lagi bagi menangani wabak COVID-19.

Ini termasuk sumbangan kepada Tabung COVID-19 KKM yang telah diaktifkan semula pada 16 Oktober lalu atas permintaan pelbagai pihak yang ingin membuat sumbangan tunai susulan peningkatan kes jangkitan baru-baru ini. Tabung ini telah dilancarkan pada kali pertama dari 23 Mac hingga 31 Mei 2020.

Tabung COVID-19 KKM adalah usaha pihak Kerajaan untuk memudahcara niat murni rakyat yang ingin memberikan sumbangan secara sukarela. Penyediaan saluran rasmi ini juga bertujuan mengurangkan risiko orang ramai ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekaligus memastikan derma yang dihulurkan akan mencapai objektifnya.

Secara keseluruhannya, sejak bulan Februari 2020, pihak Kerajaan telah menerima sejumlah RM44.7 juta dalam bentuk derma daripada pihak individu, perniagaan dan juga pelbagai organisasi. Dana ini hanya untuk kegunaan memerangi wabak COVID-19, dan setakat ini, sebanyak RM33.1 juta telah digunakan untuk pembelian PPE dan kelengkapan perubatan yang dibekalkan kepada institusi kesihatan di seluruh negara.

Jelas Tengku Zafrul, beliau ingin menegaskan bahawa Kerajaan tetap komited terhadap usaha menentang wabak COVID-19, dan bersedia menambah peruntukan, jika ada keperluan.

Beliau juga ingin menyeru semua pihak agar bekerjasama dalam menangani kenyataan dan berita palsu, dan mengelak daripada memberikan gambaran yang salah tentang keadaan semasa COVID-19 sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.

“Apa yang lebih penting adalah untuk kita menumpukan perhatian kepada usaha melindungi nyawa, memastikan kelangsungan kehidupan, perniagaan serta ekonomi dalam norma baharu. Marilah kita semua terus memainkan peranan masing-masing bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak ini dan seterusnya memulihkan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.”

Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia