Sebanyak 45,804 aduan gangguan anjing terbiar diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sepanjang tahun lalu, dengan 80,412 ekor anjing ditangkap menerusi 24,195 operasi penguatkuasaan.
Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah aduan yang tinggi itu menunjukkan isu anjing terbiar terus menjadi antara kebimbangan keselamatan penduduk.
Katanya, tindakan kawalan terhadap anjing terbiar turut dipertingkatkan susulan insiden serangan lima ekor anjing tidak bertuan terhadap seorang kanak-kanak baru-baru ini.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka dua kertas siasatan susulan kejadian berkenaan, masing-masing di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan berkaitan kecuaian berkenaan haiwan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai tindakan terhadap pemilik haiwan yang menyebabkan kecederaan serius kepada orang awam serta langkah menangani peningkatan populasi anjing terbiar, khususnya di kawasan perumahan dan sekolah.
Kor Ming berkata, kementeriannya menerusi surat bertarikh 9 September lalu telah mengarahkan semua PBT meningkatkan operasi kawalan anjing terbiar secara berterusan, dengan memberi keutamaan kepada kawasan berisiko tinggi.
“Langkah itu memberi keutamaan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas berisiko tinggi berdasarkan aduan awam dan rekod kejadian, termasuk kawasan perumahan, sekolah serta lokasi tumpuan,” katanya.
Menurutnya, pemilik anjing boleh dikenakan kompaun sekiranya haiwan peliharaan mereka mengejar, menyerang atau menggigit individu lain, sama ada menyebabkan kecederaan atau sebaliknya.
“Pemilik juga bertanggungjawab membayar ganti rugi bagi kecederaan yang disebabkan anjing masing-masing, manakala PBT boleh menangkap dan membinasakan anjing yang terlibat dalam kes gigitan.
“Bagi anjing yang berkeliaran tanpa kawalan atau tidak berlesen, PBT boleh mengambil tindakan tangkapan. Sekiranya haiwan itu dituntut semula, pemilik boleh dikenakan kompaun serta caj berkaitan dan diwajibkan mendapatkan lesen sekiranya belum berlesen,” katanya.
Beliau berkata, kes kecuaian mengawal haiwan sehingga mendatangkan bahaya atau kecederaan kepada orang awam juga boleh disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan.
Daripada keseluruhan anjing yang ditangkap tahun lalu, katanya, sebanyak 22,228 ekor direkodkan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), dituntut semula pemilik atau diambil melalui program pengangkatan.
Kor Ming berkata, PBT turut menjalankan pemeriksaan pemilikan dan pelesenan anjing di kawasan perumahan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang kecil yang berkuat kuasa.
Menurutnya, strategi jangka panjang kementerian memberi penekanan kepada pemilikan haiwan secara bertanggungjawab, termasuk pelesenan, pemandulan, pemasangan mikrocip, pengangkatan serta penglibatan komuniti.
“KPKT turut melaksanakan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar bersama PBT sejak 2024 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan memupuk amalan pemilikan haiwan secara bertanggungjawab, khususnya bagi mencegah pembuangan serta pengabaian anjing peliharaan yang boleh menyumbang kepada pertambahan populasi haiwan terbiar,” katanya.