fbpx

Baru saja melancarkan lagu terbaru berjudul Ku Ikhlaskan 3 pagi Isnin lalu, usahawan kosmetik Datuk Seri Vida berkata ia adalah usahanya untuk mengumpul dana bagi menyiapkan pusat tahfiz miliknya.

Menurut Vida, tahfiz diberi nama Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie itu terletak di Meru, Ipoh, Perak. Ujarnya lagi, dia mahu mengajak orang ramai dan peminat untuk sama-sama mengumpul saham akhirat.

BACA: Netizen Puji Vokal DSV, Ada Yang Sampai Keluar Air Mata Tengok MV Ku Ikhlaskan

“Lagu dan MV ini sebagai saham akhirat saya dalam menyiapkan pusat tahfiz selain ingin menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Ditambah pula kita tidak lama lagi bakal menyambut Ramadan, jadi saya kira ini peluang untuk kita menambah dan mendapatkan pahala berganda sekali gus diberkati Allah SWT.

“Selepas menghayati lagu dan menonton MV ini, besar harapan saya agar orang ramai, peminat dan sesiapa saja dapat menderma supaya tercapai segera hasrat saham ilmu dan amal kebajikan ini,” katanya.

Baru sehari dilancarkan, lagu Vida itu sudah mencecah 1.3 juta tontonan. Katanya lagi, lagu ciptaan Amy Ukays bersamanya itu bukan sekadar luahan kisah peribadi tetapi penuh dengan emosi duka lara yang dialaminya.

“Dalam lagu ini saya mahu menyampaikan keperitan, kehilangan, kecaman bertubi-tubi yang saya hadapi selama ini.

“Bayangkan selama ini sekecil perkara membabitkan diri saya diambil kira dan diperbesarkan hingga tular malah ada yang mencetuskan kontroversi. Pendek kata, sebesar hama pun diambil kira,” katanya.

Difahamkan, muzik video berkenaan menelan kos RM40,000 dan menjalani penggambaran selama lima hari di sekitar Kuala Lumpur dan Genting Highlands.