fbpx

Kumpulan Wala Muncul Juara Raja Lawak Musim Ke-7

Seperti dijangkakan kumpulan WALA yang menerima kritikan positif pada malam penentuan juara Maharajalawak Musim Ke-7 yang berlangsung di Dewan MBSA malam tadi diangkat menjadi juara sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 100,000 beserta trofi.

Pada malam penentuan tiga lagi kumpulan yang turut bertanding iaitu Gamat, Bora dan Sakan telah diberi tugas untuk menghiburkan penonton menerusi dua segmen yang bertemakan “Tema Bebas” dan juga “Muzikal Komedi” yang mana kumpulan Wala yang dianggotai oleh Wan Mustapha Muntek,30 dan Walawd Parman,28, mengungguli kedua-dua persembahan.

Seperti kata Dato’ Ac Mizal yang menjadi juri pada malam itu memberitahu kumpulan yang berasal dari Sabah ini mempunyai kekuataan yang tersendiri dan mempunyai pengikut setia yang dapat sama-sama menyokong untuk terus kekal berada di dalam dunia komedi selepas ini.

“Tidak perlu disangkal lagi anda punyai bakat dan juga lawak-lawak yang ditonjolkan juga mempunyai kelainan yang tersediri, tidak sama seperti lawak slapstick yang biasa ditonton. Dialog yng dilontarkan juga menjadi,” ujar Dato Ac Mizal.

Antara juri yang turut sama mengadili peserta yang terbaik adalah Saiful Apek dan juga Isma Alif.

Bagi tempat keempat dimenangi oleh kumpulan Gamat membawa pulang RM 10,000, tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan yang berasal dari Singapura iaitu Bora membawa pulang RM 30,000 manakala tempat kedua pula kumpulan Sakan membawa pulang RM 50,000. Masing-masing turut membawa pulang sebuah trofi.