fbpx

Kertas Siasatan Kes Gangguan Seksual Ebit Lew Sudah Lengkap

Berhubung kes gangguan seksual membabitkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew, kertas siasatan dilaporkan sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.

BACA: Sebak Ziarah Keluarga Arwah Zulfarhan, Ebit Lew Hadiahkan Tiket Pakej Umrah

“Bagaimanapun kita juga meminta mereka yang mempunyai maklumat tambahan supaya dapat tampil membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata pendakwah itu difahamkan berada di luar negara melakukan kerja amal dan tiada keperluan untuk menahannya kerana tiada dalam senari notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).

“Buat masa ini biarlah dia melakukan kerja kebaikan di luar negara kerana itu haknya jika dia ikut peraturan di negara terbabit ia tidak menjadi menjadi kesalahan.

Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah berusia 37 itu dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Malah, Ebit Lew telah pun dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual dikaitkannya pada 19 Ogos lalu.

Bagaimanapun, selepas selesai memberi keterangan Ebit mengatakan dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.