fbpx

“Kerajaan Perlu Teruskan Bantuan PENJANA Sehingga Pandemik Selesai”

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan kerajaan sebagai langkah menangani cabaran COVID-19 perlu diteruskan sehingga keadaan pulih, kata pengarah sebuah syarikat.

Anwar Yeo Abdullah berkata inisiatif bersasar itu bukan sahaja berupaya membantu rakyat malahan meningkatkan perniagaan terjejas dan merangsang ekonomi sekali gus memacu pertumbuhan negara.

Beliau berkata jika Kerajaan Persekutuan tidak memperkenalkan PENJANA, sudah tentu banyak syarikat terpaksa mengurangkan tenaga pekerja, termasuk syarikat di Tawau dan apabila perkara itu berlaku akan ramai yang hilang sumber pendapatan.

BACA: PERKESO Bayar RM103 Juta Kepada 30,000 Orang Hilang Kerja

“Namun selepas PENJANA dilaksanakan, syarikat saya memanfaatkan inisiatif yang diperkenalkan dalam PENJANA, termasuk program insentif pengambilan pekerja dengan syarikat mampu mengambil 10 pekerja baharu iaitu penganggur dan siswazah,” katanya kepada Bernama.

Anwar berkata syarikatnya yang mengusahakan pelbagai perniagaan termasuk dalam sektor perumahan itu memanfaatkan program subsidi upah dengan pekerja di bawah 75 orang mendapat bayaran RM1,200 setiap seorang.

“Saya memang harap kerajaan dapat meneruskan inisiatif PENJANA ini kerana kalau tidak syarikat berdepan masalah kewangan kerana apabila COVID-19 melanda, perniagaan merekodkan penurunan pendapatan 10 hingga 20 peratus dan ekoran itu syarikat mengalami kesukaran untuk membayar gaji pekerja,” katanya.

Mengenai sektor perumahan, Anwar berkata kempen pemilikan rumah dengan pengecualian duti setem di bawah PENJANA itu berupaya membantu syarikatnya menjual 30 unit rumah di sekitar Tawau.

“Pengecualian duti setem itu dapat menjimatkan pembeli rumah sekurang-kurang RM20,000, ini bermakna banyak bakal pembeli mungkin lebih suka memiliki rumah dan penjualan rumah secara langsung dapat membantu mengekalkan aliran tunai syarikat.

“Sebagai pemaju perumahan, kami terlibat dengan 72 industri pembekalan termasuk batu, besi, kayu dan pelbagai lagi, semua ini dapat dijana sekiranya sektor hartanah dan perumahan berjalan lancar,” katanya.

Anwar menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kerana prihatin terhadap keperluan rakyat.