fbpx

Kerajaan Bertindak Ke Atas Pelaku Ubah Jata Negara

Individu yang dikaitkan dengan penerbitan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara tidak akan terlepas dari dikenakan hukuman.

Kertas siasatan kes itu telah dibuka selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan berhubung tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit.

Tindakan segera oleh polis itu selaras dengan arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang meminta PDRM untuk bertindak segera menangani kes itu.

Hamzah berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak patriotik dan bertanggungjawab dan boleh mencetuskan kemarahan umum.

Beliau berkata perbuatan itu adalah bertentangan dengan Seksyen 3 (1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) yang memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang meniru lambang yang serupa lambang kerajaan Persekutuan, Jata Negara.

“Untuk itu, saya telah arahkan PDRM untuk siasat dan ambil tindakan yang tegas dengan segera ke atas mereka yang terlibat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata mereka yang terlibat dalam penghasilan buku itu termasuk penerbitnya akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Dengan paparan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan, buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang disunting oleh penulis Kean Wong itu mendapat kecaman selepas iklan mengenainya tukar di media sosial.

Lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.