fbpx

“Kenapa Pelakon Kita Gatal Sangat? Macam Tak Pernah Masuk TV…”

Isu sedutan babak panas Zul Ariffin terus menjadi bualan ramai. Selepas aksi itu ditegur oleh Menteri Agama, penceramah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah turut kesal dengan sudutan berkenaan.

Penceramah itu turut meluahkan rasa geli melihat babak berkenaan serta tidak menyangka pelakon beragama Islam sanggup melakonkan aksi jijik sedemikian.

BACA: Isu Babak Panas, Followers Instagram Siti Hariesa Naik Mendadak

“Kenapa pelakon kita gatal sangat? Macam tak pernah masuk TV dan macam tak pernah berlakon. Takkan selaku orang Melayu tak tahu cara budaya hidup sendiri… kalau bukan orang Islam yang buat, saya tak hairan sangat.

“Saya naik geli dan nak muntah apabila melihat adegan panas pelakon tanah air beragama Islam yang sanggup melakonkan babak berkenaan, seolah-olah kita ini pelakon barat.

“Jika kamu ada anak, isteri atau suami, kamu tak rasa malu ke mereka tengok suatu hari nanti? Di mana adab budaya sebagai seorang Islam dan yang penuh dengan kelembutan Melayu?

“Elok mereka ini hantar CV (resume) ke Korea atau Amerika Syarikat untuk menjadi pelakon di sana supaya lebih international,” katanya.

Dalam pada itu, penceramah itu turut menegur pengarah drama berkenaan kerana tidak sensitif dan berani membawa masuk budaya barat dalam karya arahan mereka.

“Sama ada akan disiarkan atau tidak itu lain cerita. Masalahnya di mana adab budaya kita. Kalau filem orang putih masih boleh terima lagi, ini filem Melayu. Pengarah pun satu hal, orang Melayu juga.

“Berpada-padalah dalam mengarahkan anak buah untuk berlakon. Kita ini orang negara timur bukan barat. Kita ada adab!” katanya.

Sementara itu, Ridhuan turut mencadangkan mereka yang terlibat dengan industri kreatif supaya mengambil kursus berkaitan budaya dan adab.

“Saya syorkan supaya semua mereka yang terlibat dalam proses penerbitan filem drama diwajibkan mengikuti kursus adab sopan, tatacara adat budaya timur dan kursus asas penerbitan Islam.

“Kita tidak mahu nanti, filem atau drama kita sama seperti apa yang berlaku di barat dan Korea. Semua perkara itu tidak mustahil berlaku kerana bibit-bibit itu telah pun di rasai.

“Saya cukup hairan, kenapa filem dan drama kita tidak ada identiti dan jati diri berbanding negara lain. Kenapa kita terlalu kebaratan?” katanya.

Hari ini, menerusi satu perkongsian di Insta Story, pelakon Zul Ariffin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan perbuatannya yang memuat naik sedutan babak panas drama Perempuan Itu.