Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2025 melonjak naik kepada kedudukan 88 dengan skor 56.09 mata.
Menurut laporan terbaharu Reporters Without Borders (RSF), pencapaian itu merupakan peningkatan sebanyak 19 anak tangga.
Prestasi itu amat memberangsangkan berbanding kedudukan ke-107 dunia dengan skor 52.07 mata pada 2024.
Ia juga menyaksikan Malaysia mula menghampiri kedudukan tempat ke-73 dalam indeks tersebut yang dicatatkan pada 2023.
Berbanding negara ASEAN lain, Malaysia mencatatkan prestasi yang baik walaupun berada di tempat kedua di belakang Thailand (ke-85) dalam indeks RSF.
Malaysia mendahului Brunei (ke-97), Filipina (ke-116), Singapura (ke-123), Indonesia (ke-127), Laos (ke-150), Kemboja (ke-161), Myanmar (ke-169) dan Vietnam (ke-173).
Di sebalik pemulihan kedudukan itu, RSF masih mengklasifikasikan landskap media Malaysia sebagai berada dalam “situasi bermasalah”.
Indeks Kebebasan Akhbar Dunia menilai kebebasan akhbar di 180 negara berdasarkan faktor seperti politik, rangka kerja undang-undang, kebebasan media, ketelusan dan keselamatan wartawan.
Sementara itu, laporan terbaharu RSF menyaksikan Malaysia mendapat markah yang lebih rendah dalam aspek perundangan (ke-133) dan politik (ke-92).
Kata RSF, pihak berkuasa memberi tekanan kepada wartawan penyiasatan manakala isu berkaitan insitusi diraja adalah subjek sangat sensitif sebagaimana perbincangan berkenaan kaum dan agama.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching bersama editor-editor kanan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia, Mac lalu.
“Sebarang bentuk ulasan atau laporan yang dianggap kritikal terhadap monarki boleh mengakibatkan pendakwaan, yang membawa kepada penapisan kendiri yang meluas mengenai perkara itu,” katanya.
Pun begitu, Malaysia mendapat markah yang lebih baik dalam indikator ekonomi (ke-60), sosial (ke-81) dan keselamatan (ke-90).
Mengulas lanjut, RSF menyatakan penubuhan saluran media baharu di negara ini sebagai berisiko kerana kawalan pelesenan yang ketat dan pemilikan berpusat yang menjejaskan kebebasan jabatan editorial.
“Beberapa mogul media mengancam kebebasan dan pluralisme seluruh sektor,” katanya.
Dalam ada itu, RSF mengiktiraf tahap keselamatan wartawan di Malaysia yang sangat jarang menjadi sasaran serangan fizikal.
Namun katanya, ada wartawan yang berdepan gangguan perundangan dan kempen fitnah terhadap mereka.
Pada Februari lalu, kerajaan Madani memperkenalkan kod etika kewartawanan untuk menangani cabaran yang ditimbulkan oleh media sosial.
Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia juga telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Mac lalu.
Kelulusan rang undang-undang itu amat penting bagi membuka jalan kepada badan bebas untuk mengawasi media.
Bagaimanapun, RSF dan badan pemerhati lain terus menggesa Malaysia untuk memansuhkan undang-undang era penjajah seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.