Beberapa minggu lalu hangat diperkatakan mengenai lagu terbaru kumpulan Bunkface berjudul, Akhir Zaman yang seakan melakukan ‘serangan’ terhadap golongan LGBT serta turut menyentuh isu sensitif berkaitan politik.
Sekian lama berdiam diri, akhirnya Bunkface membuka mulut mengenai kontroversi tersebut dimana mereka menjelaskan bahawa mereka tidak membenci golongan LGBT tetapi mahu mempertahankan pegangan agama.
BACA: “Netizen Tak Marah, Tapi Puak LGBT Yang Marah”
Sam berkata, lirik ‘LGBT pergi mampus’ itu tidak ditujukan pada mana-mana individu, sebaliknya kepada gerakan komuniti yang semakin berleluasa seluruh dunia.
“Perkataan LGBT digunakan dalam lirik lagu ini bukanlah ditujukan kepada sesiapa, tetapi ia fokus kepada gerakan komuniti terutama mereka beragama Islam di negara ini.
“Memetik sebaris ayat dari kitab suci al-Quran, ‘engkau agamamu aku agamaku’ menerusi surah Al-Kafirun ayat enam. Mesej lagu ini hanya ditujukan kepada mereka beragama Islam.
“Lebih lagi, lirik lagu ini dihasilkan dalam bahasa Malaysia kerana majoriti umat Islam terdiri daripada bangsa Melayu. Ia supaya jelas, nyata dan terang untuk difahami,” katanya kepada BH Online.
Bunkface menjelaskan bahawa mereka mahu ajaran Islam diketengahkan dalam lagu mereka. Ujarnya, mereka tiada niat untuk mempromosikan kebencian terhadap komuniti itu sebaliknya lagu itu ditujukan kepada mereka yang beragama Islam.
“Sekali lagi, saya ingin menekankan kami tiada niat mahu membenci mana-mana individu atau mempromosikan kebencian terhadap mereka. Apa yang kami tentang adalah gerakan LGBT yang sedang mempromosikan hak secara terangan di Malaysia. Lagu ini ditujukan khas kepada mereka beragama Islam dan bangsa Melayu.
“Yang haram tetap haram. Definisi Islam itu sendiri bermaksud menyerah atau tunduk patuh kepada ajaran-Nya. Jadi, siapalah kita untuk mempersoalkan hukum hakam yang ditetapkan Allah SWT,” katanya.
Difahamkan muzik video lagu tersebut dikeluarkan oleh YouTube sejak Sabtu lalu. Bagaimanapun, Bunkface percaya ramai yang sudah memuat turut lagu tersebut dan mesej merka masih disebarkan oleh peminat.