fbpx

“Kami Akui Khilaf & Ketelanjuran, Nak Minta Maaf Sejak Awal”

Penyanyi Lan Solo berkata dia sentiasa terbuka untuk bersikap profesional dengan rakan seperjuangannya, Siti Nordiana sekaligus menamatkan perang dingin antara mereka.

Memetik BH Online, Lan mengakui ketelanjuran mereka dan tiada masalah untuk menyelesaikan kes tersebut sejak awal lagi namun ada syarat ditetapkan Siti Nordiana sehingga ianya berlanjutan.

BACA: Kongsi Video Bergelak Ketawa, Netizen Label Lan Solo & Syura Toksik

“Kami akui khilaf dan keterlanjuran kami. Sebagai manusia biasa, kami tiada masalah membuat permohonan maaf sejak awal lagi. Mungkin kes ini tidak akan berlanjutan sehingga kini. Namun, usaha kami memohon maaf disekat dengan beberapa syarat.

“Antaranya, kami perlu membuat permohonan maaf secara terbuka pada satu sidang media dan perlu membayar sejumlah wang besar nilainya kepada plaintif,” katanya.

Dalam pada itu, Lan berkata mereka membuat permohonan maaf selepas mendapat nasihat daripada peguam, Azlan Abdul Razak.

“Sebagai manusia biasa, kami tiada masalah untuk mohon maaf. Cuma, apabila ia diutarakan dengan beberapa syarat lain, ia tersekat,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Syura Badron berkata pihaknya tidak pernah ego untuk memohon maaf namun terpaksa meneruskan perbicaraan kerana syarat pembayaran dikenakan terlalu tinggi.

“Kami sebenarnya bersedia sejak awal lagi. Tak pernah rasa ada ego seperti persepsi orang ramai yang mengatakan kami buat salah, tetapi tak mahu minta maaf. Ada yang berkata kalau kami minta maaf sejak awal pasti tidak akan disaman RM2.5 juta.

“Tetapi seperti yang diberitahu, saya dan rakan-rakan merasakan syarat yang ditetapkan untuk membuat permohonan maaf agak melampau untuk dituruti. Bukan minta maaf itu melampau, tetapi jumlah wang diminta sangat besar. Bukan RM10, RM20 atau RM1,000,” kataya.

Semalam, Siti Nordiana bersetuju menyelesaikan secara baik kes saman fitnah RM2.5 juta yang difailkan terhadap Lan dan isterinya, Nur Sheila Hassim serta penyanyi Syura Badron.