fbpx

“Kalau Suami Minat Berlakon, Tak Jadi Masalah” – Ummi Nazeera

Perkongsian video suami kepada pelakon Ummi Nazeera iaitu Dr Mohd Izzar Anwari sering membuatkan netizen terhibur apabila memuat naik momen kelakar ketika menemani isterinya ke majlis-majlis.

Memetik Harian Metro, Ummi menyifatkan suaminya seorang yang serius namun mungkin sikap itu berbeza dan kelakar ketika bersama kawan-kawan.

BACA: Ummi Nazeera Tolak Tawaran Berlakon Dengan Aliff Aziz

“Sebenarnya dengan saya, dia (suami) serius. Tapi, dengan kawan-kawan kot, dia macam itu (kelakar). Cuma, ada jugalah kelakar-kelakar dia bila dengan saya, tapi saya tengok dirinya sebagai seorang yang lebih serius dalam semua perkara,” katanya.

Menurut Ummi lagi, dia tiada masalah jika suaminya berminat untuk terjun dalam bidang lakonan namun dia pernah bertanya jika Izzar mahu menjadi pelakon.

“Setakat ini suami pun masih lagi tidak mendapat sebarang tawaran menyertai program lawak jenaka di TV. Tak ada lagi dan saya pun tak rasa dia nak buat. Tapi, tak tahulah sebab kami tak pernah bincangkan hal ini.

“Saya pun ada ditanya juga kalau suami nak jadi pelakon. Tapi, saya memang tak pernah bincang pula fasal dia jadi pelakon. Cuma, kalau dia berminat, saya tiada masalah dengan perkara itu (berlakon),” katanya.

Ditanya sama ada dia selesa suaminya dikenali ramai, Ummi berkata dia tiada masalah untuk perkara itu kerana mereka saling menghormati serta menyokong antara satu sama lain.

“Saya selesa dan tiada masalah. Saya tiada masalah kalau dia (suami) dikenali ramai. Saya okay saja. Sebenarnya saya dengan suami, kami dalam perhubungan ini, saya tidak ‘control’ (kawal) dia dan dia juga tak ‘control’ saya.

“Ini kerana, apabila kami buat keputusan nak berkahwin dulu, saya  terima dia (suami) seadanya dan dia terima saya seadanya. Tapi, kalau awak buat berbeza selepas kita berkahwin, itu dah lain,” katanya.

SUMBER: Harian Metro