Nama Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, sememangnya tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air kita. Seiring dengan usianya yang sudah mencecah 82 tahun, kudrat anak jati kelahiran Bagan Datuk, Perak ini semakin terbatas.
M Daud Kilau kini berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lalu. Beliau yang menghidap kencing manis sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang, keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang daya pendengaran.
“Sejak sakit saya tidak dapat penuhi jemputan (persembahan), nak berjalan pun sudah tidak lalu sangat dan solat juga atas bangku.
“Saya bergantung dengan ubat dan tiga bulan sekali akan ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk pemeriksaan kesihatan. Saya kini banyak menghabiskan masa dan sisa hidup mencari saham akhirat,” katanya.
Hampir lima dekad berjuang di pentas menghiburkan masyarakat, M Daud Kilai mengakui rindu untuk beraksi di pentas dengan menggayakan baju labucinya serta mendoakan peminatnya berada dalam keadaan yang baik.
“Saya sayang dan merindui peminat saya. Kalau kesihatan sudah baik, InsyaAllah akan memenuhi undangan dan bertemu mereka.
“Hari ini saya rasa seperti penyakit sudah hilang separuh kerana ramai yang datang melawat dan membawa rezeki. Saya bersyukur dan tidak dapat membalas budi baik itu,” katanya.
“Saya doakan semua panjang umur dan murah rezeki, doakan juga Daud Kilau lekas baik. Kalau tak baik tidak apa, (tapi) kalau saya ‘pergi’, doakan selamat pergi dan sedekahkan al-Fatihah,” katanya.