Masih hangat diperkatakan isu artis meminta dana khusus untuk penggiat seni sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, nampaknya perkara itu menjadi semakin panas apabila ianya mencetuskan perbalahan antara netizen dan segelintir artis.

Dalam pada itu, pelakon Emelda Rosemila turut lantang memberi pendapatnya demi mempertahankan nasib anak seni. Tidak melatah meskipun dikritik, Emelda baru-baru ini dilihat ada memuat naik status mendedahkan beberapa individu mengecam artis.


Tindakannya itu membuat beberapa orang netizen tampil memohon maaf gara-gara mengutuk anak seni. Ujarnya, dia bertindak sedemikan bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak tetapi mahu memberikan pengajaran kepada netizen yang sering mengutuk anak seni.

“Ini cara saya memberikan pengajaran kepada netizen yang tak tahu menghormati individu lain. Kalau lihat cara tutur, saya jadi takut. Artis pun manusia. Saya nak luahkan isi hati saya dalam ruang sendiri, kenapa kamu boleh masuk dan cakap sesuka hati.

“Di mana silapnya menyuarakan pendapat peribadi. Dengan penuh rendah hati dan diri untuk bertanyakan adakah mungkin golongan artis dan penggiat seni tidak terkecuali untuk mendapatkan insentif kerajaan dalam dunia dilanda musibah ini?

“Penggiat seni juga rakyat Malaysia, berhak bersuara untuk diri sendiri. Kenapa perlu kecam? Kalau saya rasa perlu, saya ambil. Kalau tak perlu pastinya akan dahulukan yang memerlukan. Jangan cetek akal. Emosi menguasai diri hinggakan otak di hujung jari,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Emelda turut memberikan contoh jika aplikasi TikTok memaparkan gelagat individu menayang aset secara terbuka pasti akan menerima pujian netizen tetapi apabila artis bersuara mengenai nasib mereka pasti akan dikecam teruk.

“Tayang aset, semua komen padu dan ‘merecik’, tetapi apabila bersuara mengenai nasib penggiat seni, cuba bela diri, netizen seperti dirasuk syaitan.

“Adilkah begini? Jika kamu boleh hidup dengan makan nasi bersama ikan kering setiap hari, jangan salah dan cemburukan orang yang berusaha nak makan daging.

“Mana akal kamu semua? Saya selalu anggap diri saya kerdil. Saya orang yang sangat merendah diri. Saya letakkan diri saya sama orang lain. Lebih atau kurangnya, saya tetap rasa kerdil. Tetapi, jangan kerana sikap rendah diri ini, kamu boleh buat sesuka hati,” katanya