“Kalau Jumpa Jodoh, Saya Terus Ajak Kahwin”

Hampir semua wanita wanita yang pernah dikaitkan dengannya sudah pun mendirikan rumah tangga, bagaimanapun pelakon dan pelawak Zizan Razak tidak pernah berputus asa dalam mencari pasangan dan menganggap jodohnya belum tiba lagi.

Menurut Zizan, jika ditemukan wanita yang tepat dia akan terus mendirikan rumah tangga dan tidak mahu lagi membuang masa untuk berkenalan dalam tempoh yang lama.

BACA: Jadi Bahan Lawak Netizen, Peminat Simpati Dengan Zizan Razak

“Tiada siapa yang tidak mempunyai perasaan untuk berkahwin. Cuma buat masa ini, saya banyak menghabiskan masa dengan perkara yang memberi keuntungan seperti berniaga.

“Andai sudah ada wanita yang tepat dan keluarga masing-masing merestuinya, saya akan berkahwin tanpa membuang masa. Saya tidak mahu membuang masa dengan keluar ‘dating, beri kata-kata manis dan sebagainya,” katanya.

Mengakui mempunyai ramai kawan wanita, namun Zizan berkata dia tidak pernah terfikir untuk mengenali lebih dekat kerana tidak mahu merosakkan persahabatan yang terjalin.

“Tipulah kalau tiada kawan wanita dan ada perasaan suka, tetapi untuk mencuba berkawan lebih jauh saya rasa tidak sebab takut merosakkan persahabatan. Saya takut hubungan tidak jadi, lalu persahabatan hancur. Akhirnya, jadi kawan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Zizan akui pernah menyerahkan soal jodoh kepada keluarganya. Ujarnya, ibunya pernah sukakan seorang gadis dan mahu mereka berkenalan namun enggan meneruskan kerana bimbang kahwin tanpa perasaan cinta.

“Emak pernah beritahu suka seorang gadis. Saya cuba berkenalan tetapi kemudian saya berfikir, kalau berkahwin tanpa perasaan, bagaimana?

“Saya sudah berusia 36 tahun. Andai saya mahu memperjudikan kehidupan saya kepada orang yang saya tidak cinta, risau juga,” katanya

×