Hari ini hangat diperkatakan di media sosial apabila penyanyi rap Caprice ingin menyaman pasar raya terkemuka, Mydin susulan satu posting dikatakan dikatakan berbaur sindiran.
Menurut Caprice, dia merasakan namanya disindir serta meminta pihak Mydin membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam dan bersedia memfailkan saman sebanyak RM30 juta.
BACA: Mydin Tak Layan Tuntutan Permohonan Maaf Caprice?
Sementara itu, memetik Kosmo, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin mengatakan pihaknya tidak membuat sebarang kesalahan pada hantaran tersebut, malah tidak menyebut nama mana-mana pihak.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Caprice menghantar surat saman terhadap pihaknya jika benar penyanyi itu mahu memfailkan saman.
“Kami (Mydin) tak ada sebut nama Caprice atau ‘tag’ Caprice dalam hantaran kami, kenapa dia nak terasa.
“Siapa makan cili, dia yang rasa pedas. Kalau betul Caprice nak saman, hantar surat saman kepada pihak kami, biar peguam saya nanti akan semakkan,” katanya.
Sementara itu, Ameer Ali berkata beliau turut mengalu-alukan jika Caprice mahu melakukan kerja amal di pasar rayanya serta menawarkan 1 kg paket gula kepada setiap mereka yang terlibat.
“Baguslah kalau Caprice nak buat kerja amal, bantu orang ramai, jangan lupa hubungi pihak Mydin ikut cawangan yang diinginkan. Saya pun nak bantu juga, bagi yang terlibat Mydin akan beri 1kg gula kepada anda,” katanya.