fbpx

Kadir Sheikh Fadzir Saman Aliff Syukri RM70 Juta

Bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menuntut bayaran RM70 juta daripada usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri atas dakwaan memfitnah.

Memetik BH Online, Abdul Kadir menerusi saman difailkan selaku plaintif terhadap ahli perniagaan itu pada 6 September 2023 berkata usahawan berusia 37 tahun itu mengeluarkan kenyataan fitnah di Instagram dan Facebook pada 2 Julai tahun lalu.

BACA: Aliff Syukri Gaduh Dengan Isteri Sampai Lari Ke Australia

Kadir mendakwa kenyataan itu membawa maksud plaintif berhutang dengan defendan jutaan ringgit serta gambarnya turut diletakkan pada kenyataan sekaligus mengundang komen negatif netizen.

Selain tuntutan RM70 juta, bekas menteri itu turut meminta ganti rugi yang dinilai mahkamah dan perintah supaya defendan memberi aku janji bertulis tidak akan menyiarkan sebarang fitnah serta permohonan maaf tanpa syarat di akaun media sosial usahawan itu selama tujuh hari.

Sementara itu, Aliff menerusi pernyataan pembelaan mendakwa membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 membabitkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

“Pihak-pihak dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang dilaburkan saya dan segala pelanggaran janji sedemikian termasuk aku janji diberikan kepada saya adalah dalam pengetahuan plaintif sendiri,” katanya.

Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, memutuskan 6 hingga 8 Januari 2026 sebagai tarikh bicara, manakala 5 Julai ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

SUMBER: BH Online