Semalam, penyanyi dan pelakon Andi Bernadee mengejutkan ramai apabila mendedahkan dia menjadi mangsa sihir oleh individu yang dengki dengannya.
Menerusi video dikongsikan di Instagram, Andi menunjukkan dua paku karat dalam mangkuk berisi kuning telur yang ditarik daripada bahagian tekaknya serta menemui katak kering atas bumbung kediamannya.
View this post on Instagram
“Ini bukan kali pertama saya kena sihir. Saya penat merasa kesakitan yang dahsyat sekitar dua tiga tahun lalu. Hinggakan saya terpaksa pergi berubat di Jogjakarta, Indonesia.
“Sebelum ini, saya pernah termakan benda kotor yang diletak dalam makanan. Dan, saya terkena lagi beberapa hari lalu buat kali kedua. Rakan serumah terpaksa memanggil ustaz untuk mengubati saya selepas Asar, petang semalam.
“Saya susah nak lelap mata serangan kali ini. Mata rasa nak tutup, tetapi tidak dapat tidur. Saya berjaga sepanjang malam dan hanya tidur pada sebelah pagi. Selera makan bertambah hingga perut menjadi buncit ,” katanya kepada BH Online.
Menurut Andi, dia menjadi mangsa dengki seorang wanita. Ustaz yang merawatnya berkata wanita tersebut pernah bekerja dengannya namun tidak pasti sama ada wanita itu di kalangan artis atau tidak.
“Rakan serumah memaklumkan saya meraung dan memekak tak ingat dunia. Ustaz memaklumkan wanita yang dimaksudkan pernah bekerja dengan saya. Cuma, tidak dijelaskan sama ada di kalangan artis atau sebaliknya.
“Ustaz akan datang berubat ke rumah selama tiga hari. Setakat ini, insya-Allah saya semakin okay,” katanya.
Dalam pada itu, Andi berkata dia tidak tahu apa salahnya sehingga diperlakukan sedemikian rupa namun menganggap ianya adalah ujian.
“Saya suka buat hal sendiri, tak melepak di luar atau bersosial. Saya tak tahu apa salah saya hingga diperlakukan seperti ini. Saya anggap ini ujian Allah,” katanya.