fbpx

Judika Kagumi Amy Search & Luah Hasrat Ingin Berduet

Pemilik nama Judika Nalon Abadi Sihotang, atau lebih mesra dipanggil Judika telah memberitahu kepada pihak media bahawa dia teramat mengagumi penyanyi-penyanyi dari Malaysia terutamanya Amy Search.

Sejak dari kecil dia mendengar lagu-lagu seperti Isabella, Fantasia Bulan Madu, dan lain-lain lagi sehinggakan bapanya sendiri telah membelikannya beberapa kaset Amy Search ketika dia di bangku sekolah.

“Saya begitu mengagumi Amy Search, yang suatu ketika dahulu amat popular dengan lagu-lagu seperti Isabella, Fantasia Bulan Madu dan lain-lain lagi sehinggakan pernah suatu ketika dahulu ayah saya membelikan beberapa kaset Amy Search ketika saya berada di bangku sekolah,” katanya penuh teruja.

Judika juga menyimpan hasrat untuk berkobolarasi bersama-sama dengan Amy Search sekiranya diberi peluang suatu hari nanti.

Dia yang juga turut meminati penyanyi Faizal Tahir, Jaclyn Victor dan juga Dato’ Siti Nurhaliza tidak mahu melepaskan peluang juga sekiranya suatu hari nanti dapat bergandingan bersama penyanyi tersohor Malaysia itu.

“Sekiranya diberi peluang pada suatu hari nanti, saya amat sekali teringin untuk menyanyi berduet bersama-sama dengan Amy Search, kerana dia mempunyai vokal yang cukup mantap dan sehingga kini, beliau masih lagi mampu untuk menyanyi dalam nada yang tinggi”

“Saya juga turut meminati Faizal Tahir kerana beliau juga seorang penyanyi yang luar biasa sekali & mempunyai karakternya tersendiri apabila berada di atas pentas. Selain itu, saya juga meminati Jaclyn Victor dan Dato’ Siti Nurhaliza kedua-dua penyanyi ini juga amat saya kagumi dan sekiranya berpeluang berkobolarasi bersama-sama dengan mereka semua saya akan begitu teruja dan berterima kasih kerana dapat merealisasikan impian saya untuk menyanyi bersama-sama mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Judika juga akan mengakhiri zaman bujangnya apabila bakal berkahwin dengan seorang jelitawan Indonesia yang merupakan Puteri Indonesia 2007, Duma Risis Silalahi yang dijangka akan diadakan pada 31 Ogos ini di Danau Toba, tempat asal mereka berdua.

Pada petang tersebut bersempena mini showcase yang dipersembahkan oleh Judika yang bertempat di Hotel Royal yang merupakan penaja penginapan rasmi, dia menghiburkan peminat-peminatnya di Malaysia dengan menyanyikan beberapa buah lagu antaranya Aku Yang Tersakiti.

Istimewanya pada petang tersebut dia menyanyikan lagu dari idola yang cukup dikaguminya tak lain tak bukan, Amy Search dengan membawakan lagu yang berjudul Isabella.

Majlis sidang akhbar dan showcase ini ditaja oleh Hotel Royal Kuala Lumpur dan ERA FM selaku radio rasmi. Manakala KKBOX dan Spotify merupakan rakan online music streaming.