Tahukah anda, sejak 2022 sehingga 1 Februari 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet telah menyekat 5,026 laman web judi.
Dalam tempoh yang sama, sebanyak 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial telah diturunkan suruhanjaya itu.

Dua lelaki warga asing yang ditahan PDRM dalam Ops Dadu kerana menjadi pengendali judi online.
Walaupun sudah beratus ribu tindakan diambil oleh MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), nampaknya masalah judi online masih berlarutan.
Lantaran itu timbul persoalan, adakah MCMC sudah gagal dalam perang membasmi ‘wabak’ judi online?
Jika dilihat dalam konteks yang lebih besar dengan mengambil kira sifat judi online yang terus berevolusi selari kemajuan teknologi, MCMC tidak boleh dianggap gagal!

Sejak 2022 MCMC menyekat 5,026 laman web judi dan menurunkan 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial.
Malah suruhanjaya itu masih ligat di medan perang melawan judi online dengan strategi baharu yang mewajibkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon lesen operasi berkuatkuasa 1 Januari 2025.
Peraturan itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi obligasi Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan oleh MCMC dan seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna.
Ia strategi yang bijak kerana perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kepada trafik pengguna judi online.

Judi online berevolusi selari kemajuan teknologi sehingga rumit dibendung.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, judi online adalah masalah kompleks kerana ia merupakan jenayah siber oleh sindiket termasuk yang merentas sempadan.
Katanya, ia juga sentiasa berevolusi selari kemajuan teknologi khususnya kewangan sehingga menjadi rumit untuk dibendung.
Sebagai contoh katanya, judi online di peringkat awal menggunakan laman web sebelum beralih ke media sosial dan kini mula menggunakan web3 seperti Telegram yang mempunyai e-wallet sendiri.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil
“Untuk bendung judi online yang semakin kompleks, kita tak boleh harapkan MCMC dan PDRM (melalui Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953) sahaja.
“Kena libatkan semua pihak, kena ada sistem sokongan yang holistik umpamanya dari JAKIM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberi kaunseling kepada penagih judi,” katanya.
Siraj juga memberikan gambaran evolusi judi online yang lebih merisaukan apabila jenayah itu digabungkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, masalah judi online pasti menjadi lebih parah kerana AI sentiasa mencari peluang untuk membangunkan algoritma berdasarkan data besar seperti data sikap dan pemikiran.
Justeru katanya, adalah penting untuk generasi muda di bangku sekolah rendah dan menengah dilengkapkan dengan kemahiran literasi digital supaya mereka menjadi pengguna teknologi yang bijak.
“Ilmu adalah tunjang penyelesaian masalah, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu memberikan kemahiran literasi digital secara teratur. Anak-anak kita wajib diberi pendedahan kerana mereka lahir dan membesar bersama teknologi.
“Semakin tinggi teknologi semakin canggihlah jenayah, tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada undang-undang kerana proses penggubalannya bukan sekejap dan ia memerlukan kestabilan dan kemahuan politik,” tegasnya.
Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin mencadangkan MCMC mewujudkan pangkalan data yang berupaya mengesan pengguna judi online.
Dengan cara itu penjudi online tegar boleh dipantau dan diberikan kaunseling melalui perundangan khususnya mereka yang beragama Islam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin
“Judi online dapat perhatian kerana penggunanya beranggapan mereka adalah halimunan daripada mata masyarakat dan pihak berkuasa.
“Maka kerajaan perlu cari jalan supaya mereka tidak lagi halimunan apabila berurusniaga melalui judi online,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pihak berkuasa mewujudkan talian hotline untuk membolehkan orang ramai melaporkan aktiviti judi online sebagaimana Hotline 977 (Pusat Respond Scam Kebangsaan).