fbpx

Ju-On 4: The Final Curse

Filem Ju-On 4: The Final Curse merupakan siri ke-8 dan terakhir dalam francais Ju-On yang menghantui pawagam sejak 15 tahun lalu. Filem ini ditulis dan diterbitkan oleh Takashige Ichise yang terlibat sejak filem Ju-On yang pertama. Sebagai pengakhiran kepada siri ini, filem ini cuba menonjolkan bagaimana sumpahan Ju On dapat dihapuskan supaya lenyap sama sekali dengan menyambung kembali pengakhiran filem sebelum ini ‘Ju-On : The Beginning of the End’ yang ditayangkan tahun lalu.

Walaupun kita menjangkakan filem ini akan menampilkan sekali lagi Ju-On dengan cara yang sama, tetapi elemen itu masih mujarab untuk menimbulkan rasa ketakutan buat penonton. Ia ditampilkan dengan sedikit tugasan untuk menonton merungkai persoalan dan dicantum pula dengan elemen teka teki bagi menyalin hubungkait antara setiap watak dalam filem ini.

#16 Moview Review - Ju-on 4 The Final Curse - ROTIKAYA

Kalau ikutkan, agak sukar bagi penonton yang baru pertama kali menonton francais ini untuk memahami keseluruhan cerita kerana ia memerlukan sedikit pengetahuan mengenai sumpahan Ju-On. Tetapi usah bimbang, ia masih diadun dengan baik dengan menampilkan beberapa babak imbas kembali yang memudahkan penonton untuk lebih faham.

Sedikit rangkuman, filem ini menyambung hubungkait peristiwa-peristiwa dalam filem-filem sebelumnya. Babak bermula dengan kakak kepada seorang guru sekolah yang hilang cuba untuk mendedahkan hal keadaan kehilangan kakaknya Yui Shono yang sebelum ini merupakan guru sekolah kepada Toshio. Ia melingkungi misteri-misteri kejadian kepada watak seperti Reo, Kayako, Toshio Saeki, Yui Shono, Madoka dan beberapa lagi dengan dipacu oleh pasangan suami isteri pekerja hotel Mai Shono dan pekerja tren komuter, Sota Kitamura yang bertindak sebagai penggerak kepada cerita.

#17 Moview Review - Ju-on 4 The Final Curse - ROTIKAYA

Penceritaannya filem sepanjang 91 minit ini perlahan tetapi mendebarkan manakala persembahan setiap watak agak konsisten. Bayangkan bagaimana rapinya filem ini mengekalkan mood dan momentum seram sebagaimana siri pertama dengan pemilihan pelakon yang tepat. Terdapat beberapa babak imbas kembali yang memperkukuh imejan hantu yang baik menerusi penonjolan watak-watak daripada keluarga Saeki.

Konsistensi lokasi juga boleh dipuji kerana ia menimbulkan pertanyaan apakah sumpahan Ju-On ini sebenarnya berpunca daripada roh yang tidak tenteram, ataupun lokasi rumah yang terlibat dalam pembunuhan ngeri, atau juga daripada mantera yang dipetik daripada novel wanita murung yang sering menjadi pemula kepada babak-babak seram dalam francais cerita ini. Biarpun tiada twist plot yang mengejutkan penonton, tetapi susun atur tragedi dalam filem ini membantu penonton untuk menerima pengakhiran filem ini dengan penonjolan punca kematian dan kehilangan beberapa watak.

#22 Moview Review - Ju-on 4 The Final Curse - ROTIKAYA

Namun terdapat beberapa kelemahan filem ini seperti penggunaan teknologi telefon berkamera yang tidak selari dengan teknologi pada tahun 2000 (ketika tragedi filem pertama). Selain itu, terdapat beberapa babak yang seolah-olah dibuat-buat hingga gagal menimbulkan elemen kejutan sebaliknya hanya melakukan tugas untuk membuat resah dan tidak pasti dengan cara menimbulkan rasa tidak selesa walaupun tidak mengejutkan kita.

Bagi penulis, filem yang seram tidak perlu menimbulkan ketidakselesaan, sebaliknya cukup dengan elemen kejutan. Jika penonton mula berasa tidak selesa ekoran pemaparan imej yang terlalu meleret-meleret, maka tiada lagi unsur keseraman sebaliknya hanya timbul kejelikan. Elemen ketidakselesaan mungkin boleh dipakai untuk filem –filem yang bermain dengan subjek yang lebih ‘bizarre’ dan Ju-On tidak berada dalam kategori sebegitu. Sepengetahuan penulis, Ju-On cuba memberi mesej mengenai kepincangan institusi kekeluargaan serta bagaimana depresi menyebabkan hidup manusia menjadi sedih dan penuh dendam.

#15 Moview Review - Ju-on 4 The Final Curse - ROTIKAYA

Filem ini sebetulkan cuba menonjolkan kasih sayang berlandaskan kepada kehidupan mereka yang kesunyian. Penulis juga ingin menegur elemen kesan khas ‘black burn’ yang tampak tidak realistik sebaliknya seperti melepaskan batuk di tangga. Babak itu sedikit mencacatkan mood seram yang sepatutnya lebih menjadi.

Filem seram seharusnya berdiri atas elemen ‘subtle’ yakni secara lazimnya perlu lebih ‘halus’ dan ‘bersahaja’. Itulah yang cuba ditonjolkan biarpun masih menggunakan elemen lapuk yang sudah digunapakai sejak siri pertama tetapi ia masih dengan sendirinya dapat menimbulkan rasa ketakutan. Tetapi dalam kes ini , apabila setiap peristiwa yang tidak dapat dijelaskan sebelum ini adalah disebabkan oleh limitasi watak Toshio atau Kayako , ia menjadi basi dan lemau sekiranya gagal disudahkan dalam filem ini.

#13 Moview Review - Ju-on 4 The Final Curse - ROTIKAYA

Limitasi suspen itu dipecahkan sekaligus menyebabkan elemen misteri tidak lagi tergantung. Bagi membawa penonton untuk kekal dikerusi hingga akhir, maka siri kali ini memberi ruang untuk penonjolan latar belakang watak-watak yang dahulunya dihadkan, seperti penonjolan watak Toshio yang lebih jelas dan melepasi fasa limitasi berbanding filem-filem sebelum ini hingga penonton dapat melihat sisi lain watak kanak-kanak itu.

KESIMPULAN

‘Ju-On 4’ ini jika diangkat secara berasingan masih boleh dikitakan sebuah filem seram yang jauh lebih baik daripada mana-mana filem seram yang telah keluar tahun inI. Mungkin kerana ia lebih dekat dengan mitos dan mentaliti orang Asia yang mempunyai persamaan pemikiran terhadap perkara tahyul/mistik dengan mengaitkan kepada pengalaman peribadi, cerita lazim yang didengar dan diperturunkan hingga boleh dikatakan ‘budaya’ seramnya cukup dekat dengan penonton Asia sekaligus ia masih berbaloi ditonton penonton negara ini.

#21 Moview Review - Ju-on 4 The Final Curse - ROTIKAYA

Perasaan seram itu masih boleh dirasai tatkala pulang ke rumah atau bersendirian kerana imej seram Ju-On itu masih kuat. Ternyata filem ini wajib ditonton bagi penggemar francaisnya dan pencari elemen seram cara Asia. Saya yakin untuk berikan 3 BIJI ROTIKAYA!