fbpx

JoHara Diancam Bunuh Lepas Gelar Pemain Sarawak ‘Cap Ayam’

Selain isu politik yang amat sensitif di kalangan rakyat Malaysia, isu bola sepak juga tidak kurang hebatnya di sini apabila insiden Liga Perdana Sarawak digelak “Cap Ayam” oleh penyampai radio Era FM.

Dan yang terbaru, Johan, Ray dan juga Haniff diarah untuk memohon maaf dalam rancangan mereka JohaRa Pagi Era minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn Bhd (Astro Radio) Dr Jake Abdullah berkata beliau sudah memanggil deejay berkenaan semalam dan memberi amaran kepada mereka agar tidak lagi mengeluarkan komen negatif berkaitan mana-mana pasukan bola sepak di negara ini.

“Minggu depan, anda akan mendengar permohonan maaf berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis peluasan Era FM, hitz FM dan MY fm ke Bandar Miri hari ini.

Beliau mengaku benar-benar kecewa selepas mengetahui insiden itu, yang menimbulkan kemarahan peminat Sarawak sehingga terdapat ancaman bunuh terhadap Johara.

“Orang yang tidak ghairah dengan bola sepak tidak akan faham,” katanya sambil menambah Era FM sentiasa menyokong Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sejak 2010.

Kenyataan negatif itu dikeluarkan apabila Sarawak kalah 1-2 kepada Perak pada perlawanan Piala Malaysia baru-baru ini, dan deejay berkenaan didakwa memberi komen Sarawak menjuarai Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah kerana pasukan itu bermain dalam liga yang mana semua pasukannya adalah ‘cap ayam’ atau tidak berkualiti.

Deejay berkenaan juga didakwa menyifatkan Sarawak sebagai pasukan yang tidak layak bermain dalam Piala Malaysia dan hanya boleh bermain di peringkat Liga Perdana.

Komen itu menimbulkan kemarahan peminat tempatan serta ahli politik di sini dan kebanyakan mereka melahirkan kekecewaan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter serta menggesa program Astro itu diboikot selain timbul ancaman bunuh terhadap Johan dan Ray, jika mereka berkunjung ke Sarawak.