fbpx

Jimat Elektrik? Perubahan Kecil Tapi Besar Impaknya!

Anda sedar tak perubahan kecil yang kita lakukan di rumah sebenarnya boleh memberikan impak yang besar. Kadang tu anda tak sedar pun tindakan yang kita buat itu sebenarnya membantu anda!

Hidup kena jadi bijak gais! Kuasa di tangan kita. Buat jer apa yang anda boleh lakukan jika mahukan perubahan dalam kehidupan seharian anda!

Apa kata kita sama-sama amalkan panduan cekap tenaga dalam kehidupan harian. Panduan cekap tenaga ini memberi idea bagaimana kita boleh mengurangkan penggunaan elektrik dalam kehidupan seharian kita.

Melengkapkan diri dengan ilmu untuk menggunakan tenaga secara cekap dapat membolehkan anda untuk menyediakan produk dan perkhidmatan dengan penggunaan tenaga yang secara optimum.

Cekap tenaga juga bermaksud penggunaan elektrik secara berhemah dalam melakukan kerja seharian kita. Ini juga bermakna kita akan dapat mengurangkan perbelanjaan untuk penggunaan elektrik di samping menikmati kemudahan yang sama.

Jom kita semak apa perubahan kecil yang anda boleh lakukan di rumah.

1. Gunakan lampu mentol LED untuk tahan lebih lama

Banyak pilihan yang tersedia apabila anda mahu memilih lampu untuk rumah atau tempat kerja anda kan? Antara sumber pencahayaan yang paling popular dan digunakan secara meluas adalah lampu mentol LED. Tapi kenapa lampu mentol LED lebih baik daripada lampu mentol biasa? Sini kami beritahu anda.

Lampu LED lebih baik berbanding biasa kerana ia tahan lebih lama dan jimat tenaga. Jadi ia dapat memberikan penjimatan kos tenaga yang ketara. Ia lebih mesra alam dan mampan. Sambil berjimat tenaga, bumi pun dijaga.

2. Tetapkan suhu penyaman udara pada 24°C

Tetapkan suhu penyaman udara pada suhu optimum 24°C adalah antara cara efektif jimat elektrik terutamanya pada musim panas. Kalau anda nak tahu, 24°C merupakan suhu yang selesa dan ia menggunakan tenaga secara optimum. Jadi jimatlah tenaga di situ!

Pastikan anda tutup tingkap atau pintu bilik sekiranya menggunakan penyaman udara. Nak tahu sebab apa? Apabila ruang tertutup, lagi cepat udara bilik itu menjadi sejuk.

3. Keringkan pakaian di bawah matahari tanpa menggunakan mesin pengering

Bagi menjimatkan penggunaan tenaga di rumah, keringkan pakaian anda di bawah cahaya matahari tanpa menggunakan mesin pengering tau. Sekarang ini kan cuaca panas terik, jadi tak menjadi masalah untuk anda jemur pakaian tu di ampaian tanpa menggunakan mesin pengering. Kejap jer gais dah kering.

4. Susun atur peti sejuk agak aliran udara lebih lancar

Haa anda tahu tak, bila anda susun atur ruang peti sejuk, aliran udara akan menjadi lebih lancar dan peti sejuk akan berfungsi dengan lebih efisien.

5. Pilih peralatan elektrik dengan label cekap tenaga

Label cekap tenaga ini bertujuan memberi maklumat yang lebih terperinci dalam membantu pengguna membuat pilihan terhadap barang elektrik yang cekap tenaga.

Macam mana anda nak tahu sesebuah alat elektrik itu cekap tenaga atau tidak? Senang sahaja gais, semak alat elektrik yang ada label cekap tenaga 4 atau 5 bintang. Lagi banyak bintang, lagi jimat elektrik!

6. Kumpulkan baju dan gosok sekali gus

Seminggu anda bekerja dan nak pergi sekolah tu sekalikan je gosok semua baju, senang dan tak perlu nak ulang banyak kali untuk gosok baju setiap hari.

Bila anda kumpulkan baju dan gosok sekali gus, tak perlu tergesa-gesa nak cari baju dan baru nak gosok. Masa dan tenaga elektrik pun jimat!

7. Cuci pakaian dengan muatan penuh

Anda tahu tak kita boleh jimat tenaga elektrik bila menggunakan mesin basuh? Kita boleh kumpulkan pakaian banyak-banyak dan basuh dengan muatan penuh, barulah jimat! Kalau anda basuh sehelai seluar dan sehelai baju sahaja, membazir tau!

8. Mandi dengan air sejuk tanpa menggunakan pemanas air

Dengan cuaca panas terik sekarang ni auto anda akan mandi dengan air sejuk jer kan? Jadi tak perlu gunakan pemanas air. Barulah badan rasa segar dan dapat jimat tenaga!

9. Tutup suis peralatan elektrik apabila tidak digunakan

Sambil duduk di rumah tu, tutup jer suis peralatan elektrik yang tidak digunakan. Satu lagi anda jangan biarkan kipas dan lampu terpasang di dalam bilik yang kosong tau. Tutup jer kalau takde orang. Jangan biar terpasang sebab membazir elektrik nanti. Barulah dapat jimat elektrik anda.

Jom amalkan bersama!

Percayalah perubahan yang kecil ini mampu memberi manfaat yang besar. Kebaikan yang terhasil dapat dinikmati bersama apabila kita semua memainkan peranan masing-masing. Jadi, marilah kita amalkan panduan cekap tenaga dalam kehidupan seharian kita. Kita mampu mengubahnya!

Info lanjut klik SINI!