fbpx

“Jika Ada Orang Kritik Anak Seksi, Saya Tak Melenting”

Ramai yang tidak tahu pelakon Azhar Sulaiman memiliki dua orang anak dara yang sememangnya cantik dan menawan. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, lihat saja ibu bapa mereka yang kacak dan jelita.

Namun bagi Azhar, dia mengakui anaknya sering mendapat perhatian ramai dan ada segelintir netizen yang sering memberikan komen tentang isu tidak bertudung serta cara pemakaian anak-anaknya yang dikatakan seksi.

“Dua anak perempuan saya memang aktif di media sosial selain sentiasa mengikuti perkembangan trend semasa. Saya sedar anak-anak menjadi perhatian mungkin kerana mereka tidak bertudung atau cara berpakaian dan sebagai bapa saya ambil setiap tanggungjawab itu,” katanya kepada mStar Online.

Kata Azhar lagi, dia sentiasa menerima segala kritikan dari netizen sama ada yang baik atau tidak dan menyifatkan teguran itu sebagai pergingatan untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik.

“Sekiranya ada orang yang mengkritik mereka atau menegur saya. Saya akan terima dan tak payah melenting kerana bagi saya yang menegur ini saya anggap seperti keluarga.

“Saya sedar mereka sentiasa diperhatikan. Kalau buat sesuatu atau berkata sesuatu yang menampakkan kebodohan diri sendiri, jadi mereka kena terima,” katanya lagi.