Seperti biasa bila usia perkahwinan sudah mencecah 1 tahun, pasti ramai yang akan bertanyakan soalan tentang zuriat. Pelakon dan pelawak Abam Bocey juga tidak terlepas daripada soalan tersebut.
Namun, Abam sendiri sudah bersiap sedia dengan jawapan jika ada pihak yang bertanya tentang soal anak. Menurut Abam, dia sememangnya mahukan anak, namun ia bergantung pada rezeki dari Allah.
“Hari-hari saya merancang tapi Allah yang menentukan. Saya memang dah bersedia dengan jawapan jika ada yang bertanya soal anak. Saya tahu mesti ada yang akan bertanya kahwin dah nak setahun tapi bila nak dapat anak. Jawapan saya senang sahaja, kalau kita nak mati esok, kita tahu tak?” katanya kepada mStar Online.
Menurutnya lagi, tidak perlu bertanyakan soalan tentang anak kerana perasaan orang perlu dijaga lebih-lebih lagi buat pasangan yang sudah lama berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata.
“Bagi saya soalan macam itu tak perlu ditanya pun tak apa. Tunggu saja berita gembira kalau orang tu nak beritahu. Perasaan orang pun perlu dijaga. Letak diri kita di tempat orang yang ditanya. Kita yang baru setahun kahwin pun ada rasa sedih. Macam mana pula pasangan yang dah berpuluh tahun kahwin,” katanya.