Sesi persekolahan yang terhenti lama akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara membuatkan ramai ibu bapa merasa risau untuk menghantar anak mereka ke sekolah semula seperti biasa.
Hari ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pembukaan sekolah melibatkan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan pembukaan semula itu melibatkan 500,444 orang pelajar dari 2,440 buah sekolah murid kelas peperiksaan awam dan peperiksaan antarabangsa yang setara seluruh negara.
“Saya pasti ibu bapa tertanya-tanya bagaimana keselamatan anak- anak apabila sekolah dibuka semula nanti. Jangan bimbang, kami yakin dengan kerjasama ibu bapa, guru-guru dan anak-anak dalam mematuhi Garis Panduan yang telah dikeluarkan, anak-anak kita akan dapat hadir ke sekolah dan mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat,” ujarnya hari ini.
Berikut disenaraikan antara 15 garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang perlu dipatuhi oleh setiap pelajar dan guru di sekolah bagi mengelakkan penularan COVID-19:
1. Ibu bapa atau penjaga memastikan anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.
2. Pemeriksaan suhu badan pelajar akan dilakukan oleh guru-guru dan petugas sekolah.
3. Pelajar mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.
4. Pelajar perlu mengikut laluan pergerakan yang ditetapkan menuju ke kelas masing-masing.
5. Murid diminta sentiasa menjaga kebersihan diri dengan amalan mencuci tangan dengan kerap ketika dan sebelum meninggalkan kawasan sekolah.
7. Waktu rehat secara berperingkat akan dikuatkuasakan buat semua pelajar.
8. Makanan dan minuman di kantin akan siap dibungkus dan murid perlu beratur mengikut tanda penjarakan sosial.
9. Murid akan makan di dalam kelas masing-masing dibawah pengawasan guru.
10.Ibu-bapa digalakkan menyediakan makanan untuk anak mereka.
11. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digalakkan bekerjasama dengan pihak sekolah membuat persiapan sebelum dibuka juga semasa beroperasi.
12. Aktiviti di luar kelas seperti sukan, kokurikulum dan perhimpunan sekolah secara bersemuka tidak dibenarkan.
13. Katil di bilik asrama akan disusun pada jarak satu meter.
14. Susunan meja makan di dewan makan akan mengambil kira penjarakan sosial.
15. Pembelajaran dari rumah diteruskan bagi pelajar dan guru-guru boleh gunakan kemudahan di sekolah bagi proses pengajaran dan pembelajaran.