fbpx

Penyanyi rock, Datuk Awie meminta pihak bertanggungjawab dalam industri hiburan negara jangan mudah mengiktiraf ‘artis Youtube’ kerana mereka tidak melalui proses sewajarnya untuk bergelar penyanyi.

Awie menyifatkan kumpulan tersebut diibaratkan sebagai ‘pengacau’ yang akan merosakkan industri seni tanah air jika tidak dikawal. Awie turut mempersoalkan adakah dengan hanya mengambil lagu orang lain dan membuat cover di YouTube, sudah boleh dianggap penyanyi?

BACA: Awie Selamat Timang Anak Keenam Pada Usia 53 Tahun

“Jangan mudah iktiraf kumpulan ‘artis perompak’ atau lebih tepatnya, ‘artis YouTube’ kerana mereka tidak melalui proses yang betul untuk menjadi penyanyi sebenar.

“Kalaulah macam itu, habis kita yang susah tebas jalan, buat 10 lagu untuk satu album dan sanggup keluar berpuluh ribu ringgit, tiba-tiba mereka yang keluar satu single dan menyanyikan lagu penyanyi asal, contohnya lagu saya yang masih hidup lagi, apa yang kita rasa bila orang (pendengar) terus angkat dia?

“Artis YouTube, kau tak lalui proses yang betul. Jadi, saya minta kepada persatuan-persatuan yang mengemudi industri ini supaya kawal kewujudan mereka dari berleluasa,” katanya.

Kata Awie lagi, tindakan ‘artis YouTube’ itu sebenarnya sudah merompak hasil seni penyanyi sebenar yang bersusah payah dan bekerja keras dalam menghasilkan album dan proses rakaman.

“Bila dah ada lagu sendiri, barulah kita boleh mempertimbangkan mereka sebagai artis atau penyanyi. Janganlah ‘panjat’ (nyanyi) lagu orang itu, panjat lagu orang ini, lepas itu kau ubah sikit begitu dan begini.

“Saya tak nak benda macam ini yang akhirnya merosakkan industri kerana kita nak artis yang asli, yang betul-betul ada perjuangan, ada imej dan ada karakternya sendiri,” katanya.