Susulan pengakuan Syamsul Yusof yang sudah bernikah dengan Ira Kazar, penerbit Datuk Puteh Ayu mendedahkan Ira Kazar pernah memberitahu dia mahu melepaskan Syamsul kembali ke pangkuan keluarganya.

Memetik Utusan Online, Ayu meluahkan rasa terkilan apabila dikecam netizen susulan kenyataannya mengenai Ira serta pernah menasihati isteri baru pengarah terkenal itu.

BACA: “Ira Pernah Minta Syamsul Pulang Ke Pangkuan Isteri” – Ayu Puteh

“Saya tidak tahu sepenuhnya kontroversi yang berlaku, tetapi mana yang mampu saya berikan nasihat. Saya faham, tiada ibu bapa mahu hidup dan rumah tangga anak jadi huru-hara.

“Saya juga baik dengan Datuk Yusof Haslam dan sangat menghormatinya. Saya tidak suka hal begini terjadi pada keluarganya, berat dugaan mereka,”katanya.

Bagaimanapun, Ayu mengakui sebagai ibu dia tidak bersetuju jika anak gadisnya menjalin hubungan bersama suami orang apatah lagi untuk berkahwin.

“Jangan mudah mengecam. Saya mengulas mengenai Ira Kazar, semalam selepas dihubungi teman media. Memang saya kenal dia, tetapi kami sudah lama tidak bertemu.

“Mengenai menjalin hubungan dengan suami orang, kalau berlaku pada anak sendiri, sudah tentu saya juga tidak dapat terima. Saya pernah berpesan pada anak-anak, jangan sibuk mahukan suami orang. Banyak lagi lelaki bujang, jadi tidak perlu cari pasal dan semakkan otak serta jiwa,” katanya.

Sebelum ini, Ayu berkata dia antara kenalan Ira mengetahui mengenai perhubungannya dengan Syamsul serta pernah menasihatinya untuk tidak meneruskannya. Ayu mengatakan Ira tidak pernah terfikir untuk menganggu rumah tangga orang sebaliknya sudah terlanjur saling mencintai.