fbpx

Ippo Hafiz Fail Nusyuz, Isteri Dah 4 Bulan Tak Balik Rumah

Penyanyi dan komposer Ippo Hafiz memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya, Fara Roslan di Mahkamah Rendah Syariah Ampang selepas tidak pulang ke kediaman kelamin sejak November tahun lalu.

Memetik Harian Metro, Ippo berkata isterinya keluar tanpa keizinannya dan pelbagai usaha sudah dilakukan dan memfailkan nusyuz juga adalah sebagai salah satu langkah.

“Hari ini selesai sebutan pertama di mana saya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isteri. Fara keluar rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan, jadi ini (tuntutan nusyuz atau bermaksud keengganan isteri mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak) salah satu langkah yang perlu saya lakukan sebagai suami,” katanya.

Sementara itu, Ippo berkata dia tidak berkongsi masalah rumah tangga di media sosial demi menjaga aib dan kehormatan keluarganya.

“Siapa yang nak diuji begini? Kalau tanya saya, saya pun tidak sangka, kami akan pergi sejauh ini. Semestinya sebagai seorang suami memang saya tak sangka saya akan lalui semua ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ippo berkata dia tidak sangka rumah tangga yang dibina sejak 2019 akan diuji dengan perceraian. Menurutnya, anak bongsunya kini berada di bawah jagaannya manakala yang anak pertama bersama isterinya.

“Jadi Ramadan saya bersama Ibrahim saja. Tak boleh nak cakap perasaan ini macam mana, saya hanya boleh cakap, saya sayangkan keluarga saya,” katanya.

Untuk rekod, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki.

SUMBER: Harian Metro