fbpx

“Hukum Cium Hajar Aswad Haram Jika Membahayakan” – Dr Zulkifli

Baru-baru ini tular video di media sosial memaparkan seorang pengasas kosmetik melakukan tawaf serta berasak-asak untuk mencium Hajarul Aswad di Kabaah bersama pasukan yang dibawanya.

Susulan itu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menegur segelintir pengguna sosial media yang menjadikan ibadah umrah sebagai konten.

BACA: Dr Zulkifli Mahu Transgender Ditangkap & Ditarbiah

Menerusi entri di X itu juga, Dr Zulkifli turut menjelaskan mengenai tawaf adalah satu ibadah wajib namun mencium hajar aswad adalah sunat.

“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.

“Bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.

“Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram.

“Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari,” tulisnya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menitipkan pesanan kepada mereka diluar sana agar fokus kepada ibadah serta memikirkan dosa dan keampunan daripada Allah tanpa memikirkan untuk mencipta konten.