“Hidup & Mati Saya Di Rumah Ini” – Yusof Haslam

Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam menyifatkan rumah banglo yang terletak di Taman Melawati yang didiami hampir 30 tahun itu menyimpan banyak kenangan.

Memetik Astro Awani, Yusof berkata rumah yang dibina sejak pembikinan filem Sembilu lagi dianggap sebagai rumah warisan keluarga dan dia tidak pernah terdetik untuk menjual atau meninggalkan rumahnya itu.

BACA: “Syamsul Datang Peluk, Saya Sebak & Menangis Bersama Datin” – Yusof Haslam

“Untuk apa saya nak tinggalkan rumah ini? Rumah ini terlalu banyak kenangan buat saya dan isteri. Di rumah inilah anak-anak saya dibesarkan, rumah ini jugalah tempat anak saya berkahwin, dan di sini juga filem Sembilu difilemkan.

“Mana mungkin saya nak berpindah.Kalau umur panjang, saya ingin hidup dan mati di sini. Insya-Allah,” katanya.

Susulan tanah runtuh di kawasan kediamannya di Taman Melawati, Yusof berkata , setakat ini rumah yang didiaminya tidak terjejas dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa memeriksa kawasan rumah.

“Saya ambil masa dua tahun untuk bina rumah ni. Dulu memang ada runtuhan kecil, tetapi seluruh kawasan rumah saya telah dikonkritkan.

“Setiap tahun, saya memang akan panggil jurutera untuk periksa sistem saliran air dan sebagainya. Insya-Allah, setakat ini, semuanya selamat. Belum pernah berlaku runtuhan lagi di rumah saya.

 “Tapi saya tak berani nak kata 100 peratus kawasan rumah saya selamat, sebab kalau Tuhan kata nak berlaku, siapa kita untuk menolak? Cuma setakat ini, Alhamdulillah, semuanya baik.

“Dulu kita kurang pengalaman, tapi sekarang, saya lebih tahu apa yang perlu dilakukan untuk keselamatan keluarga,” katanya. 

SUMBER: Awani

×