fbpx

Hawa Rizwana Akui Bukan Mudah Ganti Tempat Neelofa 

Kini bergelar hos program MeleTOP, ada segelintir penonton sudah mula membandingkan cara penyampaian Hawa Rizwana dengan bekas pengacara, Neelofa.

Memetik mStar Online, Hawa berkata dia mahu dikenali atas nama sendiri serta berharap penonton dapat menerima kehadirannya dalam industri.

BACA: Outfit Sukan Terlalu Ketat, Hawa Rizwana Ditegur Netizen

“Sebelum menjadi pengacara televisyen wajah saya sudah viral kerana dikatakan sama seperti Neelofa, kalau fikir apa orang hendak kata memang kita akan duduk di tempat sama sahaja. Saya perlu bekerja.

“Terserah pada orang lain untuk membuat tanggapan tetapi kalau boleh saya mahu dikenali bukan sebab orang lain. Semoga satu hari nanti orang boleh terima kehadiran saya,” katanya.

Menurut Hawa lagi, dia mengakui bukan mudah untuk menggantikan tempat Neelofa yang sudah lapan tahun sebagai hos tetap program realiti MeleTOP.

“Selama lapan tahun menjadi hos program ini, Neelofa telah meletakkan satu tanda aras tinggi. Memanglah ada sedikit tekanan untuk saya gantikan tempatnya. Namun, siapa yang tidak mahu memberikan terbaik menjadi seorang pengacara MeleTOP,” katanya.

Dalam pada itu, Hawa turut meluahkan rasa terharu bapanya Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abdul Rahman memberi restu kepadanya untuk menjadi hos rancangan berbentuk hiburan. 

“Ibu bapa sangat menjaga setiap tingkah laku saya. Apabila berlaku perubahan drastik dalam kerjaya ini pastinya saya mahu mendapatkan restu mereka. 

“Tak sangka ayah sangat mudah memberi restu apabila menerima tawaran ini. Ayah menonton setiap hasil kerja saya dan dia akan memberi komen jika ada yang tak kena. Kadang kala dia juga berikan doa,” katanya.