fbpx

Penuh bermakna! Ini yang dapat kami gambarkan apabila melihat hampir 400 orang Pengetua dan Guru Besar serta pegawai KPM dalam Majlis Perasmian Mustaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM ke-6 tahun 2022 di Hotel Summit USJ yang berlangsung pada 12 Oktober lalu.

Seperti yang kita tahu, Pengetua, Guru Besar malah pihak pengurusan Sekolah Agama memainkan peranan yang sangat penting dalam meneraju kepimpinan sekolah serta melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan.

Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni.

Ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam, termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional.

Pada hari tersebut, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin turut memberi ucapan serta merasmikan majlis yang penuh bermakna ini.

“Ingatlah bahawa generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat. Apabila diberi amanah, laksanakan sebaiknya demi memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pengetua dan guru besar SMKA dan SABK. Semoga terus istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan,” jelasnya.

Dalam masa yang sama beliau turut mengabadikan kenangan dengan membuat perkongsian status dan gambar pada Majlis berkenaan di halaman Facebooknya sendiri.