Selepas dua tahun, pelakon Hafidz Roshdi dilepas dan dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini daripada pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada.
Memetik Harian Metro, perintah itu keluarkan selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pengadu tidak lagi berhasrat untuk meneruskan kes itu.
BACA: “Nak Jumpa Anak Sila Datang Australia” – Shuhada Dakwa Hafidz Roshdi Cakap Berbelit
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz berkata keputusan mahkamah untuk memberikan Acquittal and Discharge (A&D) atau perintah dilepas dan dibebaskan sepenuhnya memandangkan pengadu menarik balik laporan polis terdahulu.
Sementara itu, Hafidz meluahkan rasa syukur dan lega kes tersebut akhirnya selesai serta mengucapkan terima kasih buat peminat yang menyokongnya.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT, kepada nabi kita Nabi Muhammad SAW. Itu yang pertama sekali. Saya rasa sangat bersyukur. Saya rasa sangat-sangat legalah.
“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Akberdin dan pasukan, ibu bapa saya, peminat-peminat yang menyokong saya, keluarga saya dan juga wartawan-wartawan yang datang tadi. Terima kasih datang.
“Terima kasih kepada semua. Itu yang saya ingin ucapkan. Sebab bagi saya, kita nak teruskan ke hadapan. Kita tak nak bermusuhan. Kita tak nak apa-apa. Kita nak selesai secara baiklah. Alhamdulillah. Semuanya selesai dengan baik hari ini,” katanya.
Terdahulu, Shuhada sebelum ini menarik balik laporan polis dan tidak mahu meneruskan kes dicederakan pada 6 Julai tahun lalu.
SUMBER: Utusan, Harian Metro