fbpx

Fynn Jamal Dikecam Salahkan Penampilan Wanita Punca Gangguan Seksual

Seperti diketahui isu gangguan seksual dan rogol bukanlah perkara baru kita dengar. Saban hari ada sahaja kes dilaporkan, malah lebih menyedihkan ada yang menyalahkan mangsa punca perkara itu berlaku.

Baru-baru ini, seorang netizen meminta Fynn Jamal supaya mendidik pengikutnya dengan lebih baik mengenai isu rogol selain turut mendidik dirinya juga. Bagaimanapun, reaksi diberikan Fynn Jamal ternyata mengejutkan dan menimbulkan kemarahan netizen.

BACA: Peguam Syarie Tegur Fynn Jamal Isu Anak Luar Nikah

Menerusi Insta Story, Fynn berkata permintaan untuk tidak menyalahkan mangsa rogol ini adalah ajaran barat semata. Ujarnya, tindakan wanita yang memuat naik gambar profil lawa-lawa dan comel sebenarnya menjemput nafsu lelaki.

 

Tambahnya lagi, tidak semestinya mereka yang dirogol tetapi perbuatan itu menyumbang risiko kepada wanita lain berada berdekatan yang akan menjadi mangsa lelaki bernafsu binatang.

Berterusan menunding jari kepada wanita kerana memuat naik gambar comel, Fynn turut berkata tidak perlu berpura-pura kerana gambar tersebut sebenarnya adalah untuk menarik perhatian.

Apa yang membuatkan netizen lebih berang apabila Jamal menyatakan bahawa kononnya Rasulullah pernah berpesan kepada para isteri supaya ‘standby’ sahaja jika si suami mahu bersama apabila pulang ke rumah.

Perkongsian Fynn itu menimbulkan rasa kurang senang netizen yang mengatakan mereka yang bertudung labuh dan berhijrah juga tidak terlepas daripada diuji. Kata netizen lagi, mereka yang sudah berhijrah ke arah lebih baik, hati mereka pula yang akan diuji.

Netizen berkata jika seseorang itu telah berhijrah tidak bermakna diri mereka sudah cukup sempurna sehingga boleh sesuka hati mengambil alih kerja Tuhan.

Ini bukan kali pertama berlaku, sebelum ini Fynn ditegur oleh pendakwah berikutan soal jawab berkaitan agama dari pengikutnya di Instagram. Malah, Fynn pernah mencetuskan kontroversi gara-gara menyamakan solat lelaki dan wanita.