fbpx

Filem Minggu Ini — The Legend of Hercules

The Legend of Hercules (2014) ialah filem drama epik aksi yang disadur dari Mitologi Greek mengenai kisah anak dewa Zeus dan manusia Alcmene bernama Hercules. Filem ini diarahkan oleh Renny Harlin yang pernah terkenal dengan arahan filem-filem Die Hard 2 (1990), Cliffhanger (1993) dan Deep Blue Sea (1999).

Kisahnya bermula sewaktu 1200 Sebelum Masehi (B.C.) dimana King Amphitryon (Scott Adlins) menakluk negara Argos selepas membunuh rajanya secara aksi ‘one-to-one’. Isteri Amphitryon iaitu Queen Alcmene (Roxanne McKee) menentang penaklukan kejam oleh suaminya itu.

Setelah berdoa kepada Hera (isteri dewa Zeus) maka Alcmene ‘dilawati’ oleh Zeus yang akan melahirkan anak separa dewa-manusia yang dinamakan Hercules atau Alcides mengikut panggilan bapa tirinya, Amphitryon.

TLOH3

Filem ini seterusnya melompat 20 tahun kemudian, dimana Hercules (Kellan Lutz) yang sudah dewasa sentiasa dipinggirkan oleh Amphitryon berbanding abangnya, Iphicles (Liam Garrigan). Konflik kekeluargaan semakin memuncak apabila Hercules cuba melarikan Princess Hebe (Gaia Weiss) iaitu kekasihnya yang dipaksa kahwin dengan Iphicles atas dasar untuk penggabungan empayar milik Amphitryon dan bapa Hebe.

Sebagai hukuman, Hercules telah dihantar bersama bala tentera yang diketuai oleh Captain Sotiris (Liam McIntyre) dalam misi kononnya untuk menentang puak penderhaka kepada Amphitryon. Bermula dari situ, filem ini dikembangkan mengikuti pengembaraan penuh pancaroba oleh Hercules dan Sotiris yang akhirnya akan berpatah balik ke negaranya untuk membalas dendam serta merebut semula cintanya, Hebe.

Ok, filem ini sebenarnya bukan adaptasi kreatif dalam bentuk filem yang lebih baik dari mitologi Hercules yang sebenar seperti di wikipedia. Ia lebih ringan dan buruk. Malahan kronologi siri televisyen 1995-1999 lakonan Kevin Sorbo mungkin lebih menarik. Hercules versi Hollywood kali ini dibikin sekadar ala kadar sahaja. Walaupun tergolong dalam kelopok filem epik dari mitologi yang besar, namun hasilnya kecil dan mudah dilupakan.

TLOH7

Kalaulah penulis skrip dan pembikinnya mengkaji dan mendalami kronologi asal Mitologi Greek lalu memfilemkannya tanpa menambah plot yang bukan-bukan, mungkin filem ini berpotensi tinggi untuk menjadi satu filem epik yang sangat bagus! Untuk filem yang ini, watak Hercules cuma diangkat sehebat adiwira filem fiksyen sains seperti Thor (2011) dalam landskap epik dari rupa paras, kostum dan era mitologi itu sahaja.

Kelemahan paling ketara filem ini ialah keterujaan pengarahnya hendak bercerita dalam campur-aduk teknikal imej janaan komputer (CGI) dan plot-plot drama aksi yang tidak berapa menjadi. Ia beriya-iya mahu meminjam cara pembikinan filem-filem ber-CGI seperti 300 (2007), Clash of the Titans (2010) dan Immortals (2011) melalui babak-babak pertarungan sengit dengan paparan saat genting secara ‘slowmo’.

Di samping itu, filem ini juga mahu menyumbat plot pertarungan kekuatan hidup-mati dalam arena besar seumpama filem Gladiator (2000). Tidak mahu kalah, filem ini menambah pula plot percintaan 3 segi seiras filem Troy (2004) iaitu perebutan cinta dari Hebe di antara adik-beradik Hercules dan Iphicles. Ia juga menggarap kisah perebutan perhatian anak-anak kepada seorang bapa iaitu King Amphitryon serta persaingan adik-beradik seperti filem Legends of the Fall (1994).

TLOH6

Sejujurnya tiada apa yang salah untuk mengambil sedikit formula tema dan struktur penceritaan yang sama di sana-sini dari filem terdahulu tetapi ia wajar digarap semula untuk menjadi filem yang berdikari. The Legend of Hercules telah cuba menggabungkan kesemuanya dengan bersungguh-sungguh. Lagenda kepahlawanan Hercules itu sudah pun berkali-kali dibikin dalam berbagai bentuk cerita. Maka filem ini dengan kemampuan moden teknologi perfileman hari ini sewajarnya mengacuankan asas cerita Hercules yang sama kepada sebuah cerita yang lebih besar dan meyakinkan.

Meletakkan pelakon utama muda yang semakin popular iaitu Kellan Lutz sebagai watak Hercules hanyalah gula-gula mata dengan badannya yang sasa tetapi kosong dari dalam emosinya. Mungkin faktor dan alat pemasaran untuk menarik penonton remaja yang masih terliur dengan lakonan dan wajah Kellan Lutz dalam siri filem Twilight (2008-2012) menjadi taruhan utama produksi memilihnya sebagai Hercules. Mungkin juga lakonannya sebagai watak Poseidon yang juga menjaja susuk tubuhnya dalam filem epik Immortals menjadi penyebab dia terpilih. Walau bagaimanapun The Legend of Hercules pasti akan melonjakkan lagi karier Kellan Lutz di masa akan datang. Itu sahaja.

TLOH4

Selain Kellan Lutz, pelakon-pelakon sampingan juga hanya menjadikan filem ini sekadar tambahan salah satu filem yang pernah mereka lakonkan dalam biografi masing-masing. Yang agak menyerlah dari sudut lakonan cuma Scott Adlins sebagai King Amphitryon dan Roxanne McKee sebagai Queen Alcmene kerana perwatakan dewasa mereka bergelumang dengan konflik suami-isteri yang berpanjangan.

Adakah apa-apa lagi yang menarik? Ya, ada juga iaitu sedikit info yang dipaparkan dengan teliti dalam filem ini ialah teknik dan tektik ketenteraan semasa peperangan. Bala tentera yang dipimpin oleh Sotiris yang kemudiannya diketuai oleh Hercules menyusun strategi pertahanan melalui gabungan formasi askar yang berlindung di sebalik perisai di samping turutan langkah serangan, agak menarik untuk ditonton dan difahami. Begitu juga cabaran bentuk gelanggang yang berbahaya semasa Sotiris dan Hercules berlawan dengan Half-Face dan Humbaba berjaya menimbulkan keresahan seperti menonton rancangan gusti WWE.

TLOH1

KESIMPULAN

The Legend of Hercules ialah filem yang cuba sedaya-upaya untuk meniru dan menekap kehebatan filem-filem sepertinya. Namun ia seolah tenggelam dalam amibisi pembikinnya yang keterlaluan mahu kelihatan hebat, tetapi cuma menghasilkan produk yang sederhana.

Saya hanya berikan sahaja 2 BIJI ROTIKAYA.