The Hobbit: The Desolation of Smaug (2013) ialah sebuah filem pengembaraan epik fantasi yang diarahkan oleh Peter Jackson. Ia merupakan filem sekuel kedua dari tiga siri filem yang berdasarkan dari buku bacaan kanak-kanak The Hobbit (1937) karya tulisan J. R. R. Tolkien.

Ketiga-tiga buah filem The Hobbit iaitu An Unexpected Journey (2012), The Desolation of Smaug (2013) dan There and Back Again (2014) merupakan prekuel kepada filem trilogi saga The Lord of the Rings (2001, 2002, 2003).


Filem kedua ini menyambung secara terus pengembaraan Bilbo Baggins (Martin Freeman), Gandalf (Ian McKellen) dan 13 makhluk Dwarf yang diketuai oleh Thorin Oakenshield (Richard Armitage) menuju ke Kingdom of Erebor, melalui Mirkwood, Esgaroth, dan Dale untuk menentang seekor naga bernama Smaug.

Perjalanan pengembaraan oleh Bilbo dan rakan-rakannya akan bertembung dengan berbagai lagi watak penghuni Middle-earth yang belum pernah ditampilkan misalnya watak Beorn (Mikael Persbrandt) dan Bard the Bowman (Luke Evans). Sementara itu, konflik awal di antara puak Dwarf dan Elf yang diketuai oleh Thranduil (Lee Pace) diberikan asal-usul yang memberi sedikit petunjuk apa yang akan berlaku dalam filem sekuel siri LOTR.

THE HOBBIT: THE DESOLATION OF SMAUG


Begitu juga penemuan-penemuan Gandalf mengenai peringkat awal kemunculan Sauron yang menyediakan tapak cerita yang akan dikembangkan dalam filem seterusnya.

Filem ini memang berdurasi agak panjang lebih-kurang 2 jam 40 minit untuk menghidangkan segmen-segmen aksi yang mendebarkan. Cabaran demi cabaran yang dilalui oleh Bilbo dan kumpulannya samada dalam bentuk raksasa labah-labah mahupun pertempuran sengit dengan puak Orc menjadikan ia berbaloi untuk diikuti tanpa terasa kepanjangan masa tayangannya.

Finale pertembungan Bilbo dan Smaug di Lonely Mountain serta penampilan Bard the Bowman sebagai pewaris kerajaan Dale ialah segmen terakhir yang menggantung ceritanya untuk ke penamat di filem ke-3 The Hobbit: There and Back Again tahun hadapan 2014.

Menonton filem epik fantasi sebegini yang mengandungi banyak nama-nama kaum dan rupa yang menghuni Middle-earth mungkin kedengaran seperti perlukan latar kajian sejarah dunia fantasi itu sehingga pening kepala dan terkehel lidah untuk menyebutnya. Namun begitu,The Hobbit memudahkan penceritaannya untuk membezakan siapakah di pihak yang baik menentang siapakah pihak yang jahat berdasarkan rupa paras, saiz dan penampilan mereka.

Anda hanya perlu ingati bahawa kaum Wizard, Hobbit, Dwarf, Elf dan Manusia adalah di pihak yang baik. Manakala puak atau raksasa yang berwajah hodoh dan ganas, tidak kiralah apa sahaja nama gelaran mereka ialah pihak yang jahat!

thehobbit-5

Di antara kesemua yang baik atau jahat itu pula ada kuasa yang paling hebat iaitu raksasa naga bernama Smaug serta penampilan awal Sauron dalam bentuk asap hitam dan api! Dalam filem kali ini, Smaug ditampilkan sebagai penjahat atau protagonis paling penting dalam penceritaannya.

Kemunculan secara penuh bentuk dan perwatakan Smaug ialah tarikan utama filem ini. Walaupun Smaug hanyalah raksasa dari imej janaan komputer dan suara latar serta ‘motion capture’ oleh Benedict Cumberbatch, tetapi kemunculannya di layar begitu berkarisma tamak, ego dan penuh emosi.

Ia mengingatkan saya kepada watak naga dalam filem Dragonheart (1996) tetapi kali ini naga Smaug rekaan Peter Jackson ialah maharaja mega watak naga dalam filem yang terhebat setakat ini dalam bidang perfileman.

Kali ini pengembaraan Bilbo Baggins hanyalah sebahagian dari cerita utama kerana plot Gandalf dan Radagast (Sylvester McCoy) menziarahi makam Nazgul dan lokasi Dol Guldur akan menemukan kuasa jahat paling besar dalam siri LOTR iaitu Sauron di peringkat awal kebangkitan semula!

thehobbit-1

Pemisahan Gandalf dari kumpulan Bilbo dan Thorin juga memberi ruang kisah pengembaraan yang lebih mencabar. Kerana dalam filem kali ini mereka harus berdikari untuk berlawan dengan musuh tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan Gandalf di saat-saat genting seperti filem The Hobbit yang pertama dahulu.

Filem ini membuktikan magis industri perfileman sentuhan Peter Jackson kerana hanya dari sebuah buku kanak-kanak sahaja ia mampu dipaparkan dan dikreatifkan ke bentuk filem yang lebih besar berbanding cerita buku aslinya.

Dikatakan bahawa buku asal The Hobbit hanyalah mengandungi lebih kurang 95,674 patah perkataan (Bahasa Inggeris) atau 330 muka surat. Namun begitu, siri filem The Hobbit dikembangkan kepada 3 buah filem dengan penambahan plot dan perwatakan untuk kesesuaian prekuel siri LOTR serta menjadikan pengembaraan Bilbo Baggins lebih menarik dan semakin mencabar.

thehobbit-4

Misalnya, watak-watak yang tiada dalam bukunya iaitu Legolas (Orlando Bloom) dan Tauriel (Evangeline Lilly) ditambah dalam filem The Hobbit: The Desolation of Smaug. Begitu juga plot percintaan di antara Tauriel dari kaum Elf dengan Kili (Aidan Turner) dari puak orang kerdil Dwarf. Sekaligus dengan tambahan watak-watak itu telah membolehkan plot filem ini dikembangkan dengan lebih semarak.

Mungkin banyak lagi perihal dari versi filem yang berbeza atau tiada berbanding versi bukunya. Sebagai siri filem trilogi, The Hobbit mampu berdiri sendiri tanpa merujuk sepenuhnya kepada jalan cerita dari buku asalnya.

KESIMPULAN

The Hobbit: The Desolation of Smaug (2013) ialah sebuah filem pengembaraan epik fantasi yang hebat kerana ia mampu direalisasikan dari lesen kreatif pembikinnya Peter Jackson dan krunya dengan bantuan teknologi moden CGI yang terkini.

Filem ini selayaknya saya berikan 5 BIJI ROTIKAYA.