fbpx

Filem Minggu Ini: Libas

MDAG Marketing Sdn Bhd tampil dengan sebuah filem berkonsepkan sukan sepak takraw.

Initpati karya yang sangat kreatif ini adalah hasil buah tangan seorang pengarah terkenal iaitu Jurey Latiff Rosli berjudul “LIBAS”.

Melalui filem ini, aksi-aksi komikal ditonjolkan melalui teknik ‘Computer Generated Imagery’ (CGI) sebagai tunjang utama paparan permainan sepak takraw dan juga elemen komedi sebagai hiburan buat penonton.

Filem Libas menampilkan barisan pelakon popular seperti Rosyam Nor, Scha Al-Yahya, Johan Raja Lawak dan Beego sebagai teraju utama.

Antara pelakon lain yang turut terlibat di dalam filem ini adalah Adam Corrie Lee, Fadzly Kamarulzaman, Mohd Razib Salimin, Yang Kassim, Mohd Zabri Ibrahim, Yuswaisar, Sallehuddin Abu Bakar dan Zulkarnain Zakaria. 

Mengaitkan kepercayaan tradisi permusuhan antara Malaysia dan Thailand dalam arena sepak takraw, filem ini menceritakan perihal Adnan Salidin (Rosyam Nor) atau lebih dikenali sebagai Raja Libas yang berusaha menubuhkan kembali pasukan sepak takraw Malaysia dengan mencari bakat-bakat muda sebagai pengganti.

Mengimbas memori ketika kegagalan Raja Libas menampan libasan kuat AK Nangkhon (Mohd Zabri Ibrahim) ketika perlawanan akhir menyebabkan Malaysia tewas di tangan Thailand.

Akibat kekalahan itu, jurulatih serta rakan sepasukannya, Megat (Beego) menyalahkan Adnan Salidin seterusnya memutuskan pertunangan dengan anaknya Ratna (Scha Al-Yahya).

Selain terpaksa menghadapi permainan kotor pasukan lawan, kawan sepasukan juga turut belot menentang dirinya. Yang pasti, cuma dirinya yang mampu menaikkan kembali nama pasukan takraw Malaysia.

Tindakan berani pengarah menerapkan teknik CGI di dalam filem ini harus diberi pujian. Rata-rata pendapat mengatakan filem ini seakan-akan meniru sebuah filem luar iaitu Shaolin Soccer adalah tidak benar.

Walaupun teknik CGI yang ditonjolkan tidak sehebat filem Hollywood namun konsep penceritaan yang tersendiri mampu menghiburkan para penonton. Kerinduan penonton terhadap aksi pelakon Rosyam Nor bakal terubat melalui filem ini kerana penonton dapat melihat sisipan lain lakonan beliau.

Di samping itu, segala aksi-aksi lagak ngeri di dalam filem ini kebanyakannya dilakukan sendiri oleh Rosyam Nor sehingga beliau mengalami kecedaraan ketika penggambaran filem ini.

Plot penceritaan yang mudah difahami serta santai untuk tontonan umum. Namun terdapat beberapa babak di mana dialog para pelakon kurang didengari kerana kesan bunyi yang melampau secara tiba-tiba.

Saksikan aksi komikal yang ditonjolkan melalui filem ini. Siapakah calon pemain sepak takraw yang bakal mewakili Malaysia? Apakah konflik yang dihadapi Raja Libas ketika membentuk pasukan barunya?

Bagaimanakah kesudahan hubungan Adnan Salidin dengan Ratna? Saksikan kesudahan filem ini yang bakal menemui penonton di pawagam berhampiran pada 29 September 2011 ini.