Berikutan pengumuman perkahwinan Fattah Amin dengan penyanyi Amira Othman, pelakon senior Zarina Zainuddin tampil menyuarakan pandangannya agar bekas isteri Fattah, Fazura, tidak terus dibandingkan dengan mana-mana wanita lain.
Menurut Zarina, Fazura mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai seorang wanita berkelas dan tidak wajar dijadikan bahan perbandingan.
BACA: Penampilan Fazura Main Pickleball Dipuji Cantik & Sopan
Zarina yang mesra dengan kedua-dua selebriti itu turut mengakui pernah mendoakan agar Fattah dan Fazura berdamai demi anak mereka, namun menerima hakikat bahawa kini masing-masing membawa haluan sendiri.

Katanya, Fattah sudah memilih pengganti manakala Fazura kekal bersendirian, namun beliau tetap mendoakan kebahagiaan kedua-duanya.
Pelakon berusia 54 tahun itu juga meluahkan rasa terkilan dengan tindakan segelintir pihak, khususnya wanita, yang tanpa rasa simpati mengkritik dan menghentam sesama kaum.
Bagi Zarina, sebagai wanita seharusnya mereka saling menyokong, bukannya menindas dengan kata-kata yang menyakitkan. Beliau turut menyifatkan Fazura sebagai wanita tabah dan mendoakan agar aktres itu terus melangkah ke hadapan dengan kekuatan tersendiri.
Terdahulu, Fattah mengejutkan peminat apabila mengumumkan bakal bernikah dengan Amira pada 14 September ini, bertepatan dengan tarikh ulang tahun kelahirannya. Untuk rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017 sebelum berpisah pada Oktober tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun.