Pelakon Fazlina Ahmad Daud terpaksa meminum air basuhan dan mencium kaki aktor Faizal Hussein dalam satu babak drama Bidaah yang kini hangat diperkatakan netizen.
Memetik Kosmo, Fazlina berkata meskipun mengakui terkeksa dan sukar namun dia berjaya melakonkan babak tersebut sekali sahaja.
BACA: “Memang Wujud Ajaran Sesat Yang Hambakan Pengikut, Tak Perlukan Dipertontonkan”
“Memang tiada tapisan, saya memang minum (air basuhan kaki) dan cium kaki. Memang terseksalah. Tetapi saya berjaya melakukan sekali sahaja kerana sudah dalam karakter,” katanya.
Sementara itu, sebelum penggambaran, Fazlina mempersoalkan, mengapa ada pengikut ajaran sesat yang begitu taksub sehingga sanggup memberi harta mereka kepada pemimpin tertinggi.
Namun, dia memahami situasi berkenaan selepas mendalami watak Kalsum yang merupakan salah seorang isteri pemimpin.
“Karakter Fazlina dan Kalsum sangat berbeza. Sebagai Fazlina saya tidak faham mengapa ada orang begitu taksub dengan pemimpin dan ajaran sesat. Mungkin Allah nak tunjuk kepada saya, semasa berlakon saya sedang duduk di bawah dan Faizal duduk di atas kerusi yang besar.
“Dari bawah saya melihatnya seperti seorang figura yang begitu besar. Selepas itu, barulah saya faham kenapa mereka (mangsa) menjadi begitu. Terus saya simpati terhadap mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, dia mengakui watak Kalsum di luar zon selesanya. Namun beranggapan drama Bidaah secara keseluruhannya dirasakan seperti dakwah buat para pelakon.
“Tidak pernah saya rasa begitu penat ketika berlakon. Rasanya bukan saya seorang tetapi semua pelakon rasa watak mereka sangat berat.
“Masing-masing mempunyai cerita tersendiri dan kami semua melakukannya kerana ini adalah ibadah. Mungkin daripada cerita ini orang ramai tidak akan terjerumus dan akan sedar taktik-taktik ajaran sesat,” katanya.
SUMBER: Kosmo