Susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negara ini ditambah pula dengan beberapa kes dicatatkan melibatkan pelajar sekolah, ia sekaligus mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Perkara itu turut disuarakan oleh penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob menyarankan kerajaan supaya menangguhkan sesi persekolahan dengan segera kerana bimbang ia mendedahkan risiko kepada pelajar dan guru sekolah.
BACA: Fazley Yaakob Dedah Pernah Kerja Sebagai Pencuci Tandas
“Cikgu-cikgu dan murid-murid harus mula dicutikan sekolah sebelum terlambat! Anda tak risau ke? Setuju tak apa yang saya sarankan. Dalam diam saya amat yakin ramai ibu bapa bersependapat dengan saya,” katanya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fazley mencadangkan agar sesi persekolahan pelajar sekolah rendah ditangguhkan terlebih dahulu berbanding sekolah menengah yang mempunyai komitmen lebih besar seperti peperiksaan utama.
Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk segelintir guru yang menyokong saranan Fazley supaya pelajar dicutikan manakala guru bekerja seperti biasa.
Bagaimanapun, ada yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut serta menuduh jika pelajar dicutikan cikgu-cikgu akan makan gaji buta dan tiada siapa akan menjaga anak-anak jika ibu bapa keluar bekerja.
Dalam pada itu, Fazley turut membuka ruang undian menerusi Insta Story meminta pandangan umum mengenai cadangannya itu.