fbpx

Faye Kusairi Nafi Jual Nasi Ayam Sebab Tiada Job

Pelakon Faye Kusairi menafikan dakwaan dia membuka gerai menjual nasi ayam kerana tiada ‘job’ berlakon.

Memetik BH Online, Faye berkata banyak tawaran diterima namun ketika hamil anak ketiga yang dilahirkan Julai lalu dia sudah memperlahankan kerjaya seninya.

BACA: Faye Kusairi Menangis Ramai Tak Dapat Rasa Nasi Ayam

“Alhamdulillah, banyak tawaran yang saya terima sejak tahun lalu. Tetapi, saya terpaksa tolak beberapa ‘job’ kerana mengandung. Apatah lagi, ada watak memerlukan saya beraksi lasak.

“Ketika itu, saya masih bekerja ke Singapura dan Brunei sehingga usia kandungan mencecah enam bulan. Selepas itu, saya terus tolak semua tawaran sehinggalah selepas pantang,” katanya.

Sementara itu, Faye enggan memikirkan pandangan masyarakat terhadap dirinya dan tidak kisah jika ada yang memandang rendah dengan keputusannya untuk berniaga.

“Biasalah orang lebih suka menilai dari sudut negatif terlebih dulu tanpa berfikir menerusi ruang lingkup yang lebih luas. Saya pula lebih suka mengambil setiap perkara dari sudut yang positif.

“Saya hanya ingin fokus kepada mensyukuri apa yang Allah sudah aturkan buat saya.

“Bukan mudah sebenarnya saya nak dapatkan ilham dan keberanian ini (berniaga). Ini pun saya doa banyak-banyak sebelum akhirnya buat keputusan untuk berniaga,” katanya.

Baru-baru ini, Faye ada memuat naik video memaparkan diri menangis apabila jualannya habis awal serta tidak dapat memenuhi permintaan pelanggannya yang datang untuk membeli.