fbpx

Fahrin Ahmad Sahkan Bakal Nikah Sabtu Ini

Dalam satu sidang media yang diadakan pada hari ini pelakon filem Pilot Cafe, Fahrin Ahmad mengesahkan yang beliau bakal menamatkan zaman bujang pada Sabtu ini bersama wanita pilihan yang masih dirahsiakan identitinya.

Majlis pernikahan Fahrin Ahmad akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara bersempena dengan tarikh ulang tahun kelahiran pelakon ini yang ke-36.

“Saya akan bernikah pada Sabtu ini iaitu pada hari tarikh lahir saya yang jatuh pada 9 Mei. Tetapi buat masa ini saya tidak mahu dedahkan siapa bakal isteri saya itu. Biarlah anda semua tahu pada majlis pernikahan itu nanti. Tetapi wanita itu bukan di kalangan selebriti,” katanya kepada.

Fahrin Ahmad turut berkata yang beliau sudah pun mengenali bakal isterinya itu sejak setahun lalu.

“Kami berkenalan sejak setahun lalu dan saya tahu ramai yang terkejut kerana tidak tahu mengenai perhubungan ini. Sebab saya tidak berkongsi mengenai perkara ini terlalu awal kepada umum kerana ia atas permintaan kedua-dua belah pihak keluarga,” ujarnya lagi. (rtky/s)