fbpx

Faezah Elai: Bukan Taraf Saya Nak Bergaduh Di Twitter

Niatnya baik, cuba membantu dan memberi kerjasama sehabis baik sepanjang bersiaran. Namun gara-gara tegurannya, tidak fasal-fasal Faezah Elai dipersalahkan. Lebih tepat, pelakon itu dikatakan penyebab rakan pengantaranya yang juga merupakan salah seorang peserta program realiti Ikon Siarawan iaitu Alia tersingkir.

Keadaan terus panas apabila Faezah Elai didakwa berperang di Twitter dengan seorang penonton yang tidak berpuas hati dengan keputusan penyingkiran tersebut dan terus menyalahkan pelakon itu.

Menurut ibu anak satu ini, dia tidak bergaduh dengan penonton tersebut sebaliknya sekadar bertanya dan meminta penjelasan ekoran dia dikatakan bersikap tidak profesional.

“Peserta tersebut pula diberikan tugasan sebagai pengacara jemputan program Feminin kendalian saya. Sepanjang siaran itu, mulanya saya memang bagi dia peluang untuk bercakap tapi tak sangka pula dia terlalu banyak bercakap sampai lah dah nak keluar ending kredit. Jadi saya tiada pilihan saya terpaksa cakap potong cakap dia”

“Tentang tweet itu pula, bukan berperang pun tapi saya cuma bertanya kembali kepada orang yang tweet saya itu, tentang kenapa dia berkata saya tidak profesional. Sejujurnya saya tidak menonton program Ikon Siarawan itu, jadi saya kurang jelas apa yang pengikut di Twitter itu cuba katakan kepada saya”

“Katanya, saya tidak profesional. Saya tanyakan pada dia yang dia tonton tak Feminin sewaktu giliran peserta itu dan saya sedang kendalikan itu. Itu sahaja,” kata Faezah Elai ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Isteri kepada pengarah drama terkenal, Heykal Hanifah ini ditemui pada majlis pelancaran Jalan-Jalan Minum Kopi Malaysia Bersama Selebriti, bertempat di The Weld, Kuala Lumpur semalam.

Tambah Faezah, tidak ada sebab untuknya mencetuskan pergaduhan dengan penonton terbabit. Tidak mahu memanjangkan hal tersebut, Faezah menganggap ianya itu telah selesai memandangkan penonton itu telah memohon maaf daripadanya.

“Bukan taraf saya nak gaduh dengan dia. Tapi apa pun, perkara itu dah selesai sebab penonton itu pun dah minta maaf,” katanya ringkas.

Memilih Karya Selepas Lahir Anak Sulung

Mengenai perkembangan karier seni pula, selain sibuk mengendalikan program di saluran RTM1, Feminin, sejak Januari lalu, Faezah baru saja selesai menjalani pengambaran sebuah telemovie yang menggandingkannya bersama pelakon Afiq Muiz.

“Buat masa ni fokus saya memang pada Feminin. Program tu setiap Isnin hingga Khamis tapi saya tidak lah bersiaran setiap hari, ada giliran yang ditetapkan. Selain tu, saya baru habis penggambaran sebuah telemovie. Maaf, saya lupa sangat judul telemovie itu tapi dalam drama tu saya bawa watak ala-ala tomboy,” tuturnya.

Dalam pada itu Faezah juga memberitahu, sejak melahirkan anak sulung yang diberi nama Dealova Heyrinna yang kini berusia setahun lebih, dia kini semakin memilih watak dan drama yang ditawarkan memandangkan dia perlu juga menguruskan keluarganya.

“Sebenarnya tawaran belakon banyak, tapi saya dah mula kena memili sesuai dengan status saya sebagai ibu. Saya juga perlu beri tumpuan pada anak dan suami. Jadi saya hanya boleh jalani penggambaran sehingga jam 11.00 malam sahaja”

“Kalau sesebuah produksi itu boleh terima syarat saya, saya akan terima tawaran mereka tapi itupun bergantung juga pada watak yang ditawarkan pada saya,” katanya. (rtky/fr)