fbpx

ESSCOM Terus Berkeupayaan Pelihara Keselamatan Sabah

Lawatan dua hari Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Sabah diteruskan dengan mengadakan kunjungan ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2). Tujuan kunjungan beliau ke sana adalah untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dan terperinci berhubung perkembangan terkini pelaksanaan ESSCOM serta situasi semasa keselamatan Sabah.

“Ini penting bukan sahaja untuk saya bersama-sama kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menambahbaik inisiatif-inisiatif sedia ada di bawah ESSCOM, tetapi juga mengkoordinasi perancangan ke hadapan demi memperkukuh pertahanan di negeri ini terutama di ESSZONE dengan bersandarkan bentuk ancaman semasa.”

Beliau memaklumkan dalam sesi taklimat yang diadakan bahawa pentingnya operasi keselamatan melalui ESSCOM khususnya sepanjang tahun 2021 berjalan lancar dan berkeupayaan dalam menangani ancaman-ancaman yang menjadi perhatian ESSCOM. Ia termasuklah kidnap for ransom, rompakan laut, penyeludupan, kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta militan dan pengganas.

Untuk makluman anda, secara asasnya operasi keselamatan di bawah ESSCOM terbahagi kepada lima (5) iaitu:

i. Operasi Gasak – menghapuskan sasaran kidnap for ransom/militan, melakukan operasi di ESSZone ke atas aktiviti yang mengancam keselamatan, mensasarkan penjenayah dan penyeludup.
ii. Operasi Bersepadu – operasi skala kecil gabungan agensi penguatkuasa. Mendominasi kawasan di ESSZone yang diduduki PATI. Mensasarkan PATI, penjenayah dan penyeludup.
iii. Operasi BENTENG atau OP CEGAH PATI – di perairan Kudat, Sandakan, Semporna, Kunak dan Tawau. Menghalang kemasukan PATI.
iv. Road Check Point (RCP) – menghalang kemasukan PATI, penyeludup dan militan.
v. Penguatkuasaan Zon Perintah Berkurung – mengawal keselamatan pergerakan komuniti maritim.

Menerusi operasi-operasi berkenaan dan hasil kerjasama erat terutama antara ATM, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, ESSCOM sepanjang tahun 2021 sahaja telah berjaya:

i. Merampas dadah bernilai RM3.34 juta
ii. Merampas rokok seludup dan barangan terkawal bernilai RM1.38 juta
iii. Menangkap 154 orang PATI bersama 393 buah bot
iv. Mengusir 1,407 orang PATI bersama 119 buah bot
v. Memeriksa 30,666 buah bot

Bukan itu sahaja, Hishammuddin juga ingin melaporkan kepada umum bahawa tiada rekod penculikan baharu direkodkan di kawasan ESSZONE sepanjang tahun 2021.

“Berdasarkan beberapa siri kejayaan yang saya senaraikan ini, pihak ESSCOM maklumkan kepada saya bahawa secara relatifnya, ESSZONE adalah selamat dan terkawal. Namun begitu, itu tidak bermakna ESSCOM akan mengendurkan operasinya. Sebaliknya, ESSCOM akan terus diperkukuhkan lagi dan perancangan mengenainya akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke masa,” jelasnya.

ATM Akan Terus Perkasa Keselamatan Sabah

Dalam pada itu, selain ESSCOM, ATM turut sedang dan akan terus memperkasa tahap pertahanannya di negeri ini. Ia selari dengan perbincangan beliau bersama Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd. Noor semalam yang bermatlamat memperkukuh keselamatan Sabah.

“Bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), kita telah mengaturgerak seramai 5,044 orang merangkumi pegawai dan anggota. Mereka kini sedang ditempatkan di 3 lokasi iaitu Markas 5 Divisyen – Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu; Markas 5 Briged – Kota Belud (kawasan tanggungjawab ialah Barat Sabah) dan Markas 13 Briged – Lahad Datu (kawasan tanggungjawab ialah Timur Sabah),” tambah beliau.

Secara ringkasnya terdapat 8 batalion menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah ketika ini di mana 4 batalion beroperasi dan 4 batalion berpangkalan serta siap sedia untuk tangani sebarang kemungkinan.

Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kita telah mengaturgerak seramai 2,419 orang merangkumi pegawai dan anggota. Daripada jumlah berkenaan, 2,317 anggota sedang ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar manakala 102 anggota ditempatkan KD Sri Semporna.

Tambahan juga, TLDM turut telah mengaturgerak 4 unit LMS; 4 unit Patrol Vessel, 2 unit Fast Attack Craft, 1 unit Bunga Mas Lima (BM 5); 2 unit kapal selam; 5 unit Rigid-Hull Inflatable Boat (RHIB) dan 5 unit Fast Interceptor Craft (FIC) bagi mempertahankan kedaulatan perairan negeri Sabah.

“Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kita telah mengaturgerak seramai 1,283 orang merangkumi pegawai dan anggota. Mereka kini sedang berada dalam keadaan bersiapsiaga di Pangkalan Udara (PU) Labuan yang terletak di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Dalam masa yang sama, TUDM juga telah mengaturgerak 9 unit pesawat pejuang Hawk; 4 unit Helikopter EC 725; 1 unit C130 dan radar.

“Secara keseluruhannya, terdapat 8,746 anggota ATM yang berkeupayaan melaksanakan penugasan pada setiap masa demi keselamatan negeri dan rakyat Sabah. Walaubagaimanapun, saya percaya bahawa banyak lagi perlu dilaksanakan. Tiada istilah selesa dan berpuas hati dalam perjuangan ATM,”jelas beliau.

Justeru, bagi memperkasakan lagi usaha keselamatan dan pertahanan Sabah, Hishammuddin turut memaklumkan bahawa beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan. Ia termasuklah:

i. Satu kem baharu bagi tentera darat akan dimulakan pembinaannya pada tahun ini di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah. Perancangan mengenainya telah pun dimuktamadkan di mana RM646,156,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan pembinaan kem ini.

Antara tujuan utama pembangunan kem baharu ini adalah untuk memindahkan 1 batalion infantri dan unit-unit 13 Briged sebagai usaha meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan TDM dalam menangani ancaman semasa sekaligus mengukuhkan lagi tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah.

ii. Merancakkan semula dan memperkasakan lagi inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) melibatkan kerjasama angkatan tentera Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.

Hishammuddin telah suarakan hasrat ini kepada rakan sejawat beliau di kedua-dua negara berkenaan dan mereka telah menyatakan persetujuan. Sehubungan itu, satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari ini bagi membincangkan perancangan mengenainya.

Hasrat meningkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi ini turut disuarakan YAB Ketua Menteri Sabah dalam pertemuan mereka pada 14 Januari lepas.

“InsyaAllah, saya akan bawa hasrat beliau semasa pertemuan bersama Menteri Pertahanan dua negara berkenaan 27 Januari ini.

“Dua inisiatif baharu yang saya umumkan hari ini hanya sebahagian. Banyak lagi perancangan khusus untuk keselamatan Sabah yang akan saya umumkan dari masa ke masa. InsyaAllah,” akhirinya.