fbpx

Erra Fazira Takkan Berebut Anak Dengan Bekas Suami

Pelakon dan penyanyi Erra Fazira berkata meskipun dia dan bekas suami, Engku Emran tiada lagi ikatan namun dia tidak mahu anak tunggalnya, Engku Aleesya kurang kasih sayang ibu bapa.

Memetik Kosmo, Erra berkata dia dan Emran sanggup bertolak ansur demi kebahagiaan anak mereka. Kata Erra lagi, dia tidak mahu anaknya merasai nasib sama sepertinya tidak merasa kasih sayang bapa.

BACA: Erra Fazira Kesal Difitnah Tahu Punca Perceraian Engku Emran

“Macam saya, saya dibesarkan ibu tunggal dan tidak pernah dapat kasih sayang seorang bapa, sekali gus membuatkan saya faham sangat perasaan perit itu.

“Jadi saya nekad mahu anak saya dapat kasih sayang kedua-dua kami walaupun antara saya dan bapanya tiada apa-apa lagi ikatan.

“Saya sebagai ibu enggan mengganggu proses pembesarannya, selain mahu Aleesya mendapat hak untuk hidup bahagia,” katanya.

Melihat isu perebutan anak yang berlaku, Erra berkata sebagai ibu bapa mereka perlu merendahkan ego dan mengutamakan kebahagiaan anak selepas bercerai.

“Ibu bapa perlu merendahkan ego masing-masing dengan memberi keutamaan kepada kebahagiaan zuriat mereka selepas bercerai

“Apabila bercerai, keadaan memang tegang terutama membabitkan soal anak. Nasihat saya kepada pasangan bercerai, sebagai orang dewasa kita letakkan ego ke tepi,” katanya.

Terdahulu, Erra berkahwin dengan Engku Emran dan dikurniakan cahaya mata perempuan Engku Aleesya kini berusia 15 tahun.