fbpx

Enam Unit Pesawat MD530G Selamat Tiba Di Pelabuhan Klang

Enam helikopter MD530G selamat tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Februari lalu, pada jam 3 pagi selepas melalui tempoh pelayaran panjang selama 31 hari bermula dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat pada 20 Januari lalu.

Perkara berkenaan diumumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain kepada pihak media ketika menghadiri Majlis Ketibaan Pesawat MD 530G di salah sebuah hangar di Lapangan Terbang Subang pada 28 Feb 22.

Pesawat MD530G dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd dan adalah buatan Amerika Syarikat serta dibina oleh MD Helicopter inc (MDHI).

Selain dari membekal enam helikopter, kontrak perolehan ini juga merangkumi program latihan untuk juruterbang dan juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Jadi, bagi peningkatan kompetensi dan latihan, seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik menghadiri program latihan tersebut di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat selama 43 hari bermula 26 April hingga 11 Jun 2021.

Pemeriksaan Kefungsian dan Keupayaan Pesawat

Demi menentukan kualiti pesawat ini menepati spesifikasi TD, satu tim pemeriksaan Pre-Delivery Inspection (PDI), telah ditubuhkan pada 21 Julai lalu dan telah diatur gerak ke premis MDHI untuk melaksanakan pemeriksaan terhadap pesawat yang bermula pada 6 Disember hingga 21 Disember 2021.

Ini merangkumi pemeriksaan fizikal pesawat, pemeriksaan kefungsian/ keupayaan pesawat, pemeriksaan fizikal alat ganti, pemeriksaan Flight Training Device (FTD) (Simulator) dan pemeriksaan fizikal persenjataan.

Pada ketika ini, pesawat itu sedang melalui pemeriksaan oleh Director General Technical Airworthiness (DGTA) yang dijangka berjalan selama enam hari sehingga 2 Mac 2022.

Seterusnya, enam helikopter ini akan melalui proses penerimaan akhir oleh TD. Satu tim pemeriksa yang dikendali sebagai Tim Final Acceptance Test (FAT) telah ditubuhkan dan akan dipertanggungjawabkan untuk memeriksa pesawat ini secara terperinci.

Proses FAT ini dijadualkan bermula 3 Mac hingga 27 Mac 2022.

Sejurus tim Fat mengesahkan enam helikopter ini lulus pemeriksaan akhir, sijil pemeriksaan akhir akan dikeluarkan dan ditandatangani oleh wakil syarikat bersama tim FAT dan ini menandakan kesemua helikopter menjadi hak milik Tentera Darat Malaysia secara rasminya.

Meningkatkan Kesiagaan dan Keupayaan TD

Peningkatan dari segi kesiagaan dan keupayaan TD tetap menjadi agenda utama kerana TD perlu mempunyai aset yang lengkap dalam melaksanakan tugas utama mempertahankan kedaulatan negara.

Peranan utama helikopter ini adalah sebagai pesawat tempur ringan dan dilengkapi dengan kuasa tembakan (Firepower) jenis gatling gun 7.62mm, heavy machine gun 12.7mm dan rocket launcher 70mm.

Keupayaan kuasa tembakan yang dimiliki oleh pesawat ini mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter hingga tujuh kilometer. Ketangkasan (agility) helikopter ini juga membolehkannya melaksanakan tugas tinjauan udara.

Demi mendukung tonggak pertama TD, iaitu kelangsungan misi dan kesiagaan, helikopter ini akan diatur gerakkan untuk membantu ketumbukan tempur TD yang lain di Semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak.

Komitmen

Pada masa sama, TD bakal meraikan Hari Tentera Darat pada 1 Mac dengan tema tahun ini memfokuskan kepada kebajikan dan kesejahteraan keluarga TD, iaitu “Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin”.

Justeru, tumpuan serta fokus kepada perkara lain seperti peningkatan dari segi kesiagaan dan keupayaan TD tetap menjadi agenda utama kerana ia saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.

Diharapkan, seluruh warga TD dapat terus komited dalam merealisasikan setiap perkara yang terkandung di dalam Lima Tonggak Perintah Ulung Panglima Tentera Darat demi mencapai misi dan visi yang ditetapkan.